KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sentiasa menyokong usaha agensi dan jabatan kerajaan negeri untuk berkolaborasi dengan pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, ia termasuklah menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu meningkatkan produktiviti hasil perikanan akuakuktur melalui penggunaan sistem lebih moden.
Katanya, kerajaan negeri juga komited untuk terus melahirkan insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).
Menurutnya, sebanyak RM61.8 juta telah diperuntukkan bagi latihan, kursus dan pembangunan ICT selain kerajaan akan memberi keutamaan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk diadaptasi dalam pelbagai sektor utama negeri.
“Penggunaan teknologi canggih atau Internet of Things (IoT) selaras dengan pembangunan IR4.0 dalam ternakan ikan adalah elemen penting yang ditekankan dalam Perjanjian Penyelidikan.
“Antaranya adalah dalam mereka cipta, membangun, menganalisa dan mengujicuba penggunaan peralatan yang dapat membaca perubahan parameter air yang member kesan dan penilaian perubahan kelakuan ikan.
“Pihak KO NELAYAN telah menetapkan Objektif Kualiti ternakan iaitu 70 peratus kadar hidup minima ternakan. Melalui penggunaan sistem aplikasi Internet Of Things (IoT) dalam bidang ternakan diharap dapat menangani permasaalahan yang akan timbul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan antara Fakulti Komputeran dan Informatik UMS bersama Korporasi Kemajuan Perikanan Sabah (KO-NELAYAN) disini hari ini.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, KO NELAYAN juga telah merealisasikan usaha pemantapan IR4.0 iaitu melalui Program Nelayan Digital (Aplikasi e-SMART) iaitu program teknologi membantu nelayan dalam penangkapan ikan yang lebih moden melalui penggunaan aplikasi IoT.
Katanya, Program e-Kan (Elektronik – Komuniti Usahawan Nelayan) juga merupakan inisiatif untuk menerapkan ilmu keusahawan digital.
“Kolaborasi di antara UMS/Fakulti Komputeran dan Informatik dan KO NELAYAN ini diharap dapat menyelesaikan beberapa masaalah dalam bidang Perikanan Akuakultur khususnya dalam ternakan ikan dalam sangkar, ternakan ikan dalam kolam dan ‘Pen Culture’.
“Melalui penggunaan aplikasi IoT ini kita mengharapkan agar produktiviti Perikanan Akuakultur dapat dipertingkatkan seterusnya dapat menambah sumber pendapatan penternak.
“Menerusi IoT untuk Akuakultur Pintar ini kita dapat menyediakan informasi berkaitan kesesuaian air agar keselamatan ternakan lebih terjamin,” katanya.
Sementara itu, Jeffrey berharap agar kerjasama penyelidikan itu dapat mencapai objektif seperti yang diharapkan oleh semua pihak dan sekaligus memberi impak yang besar dalam industri perikanan akuakultur khususnya di Sabah.
“Menjadi harapan saya agar usaha murni ini terus diperkasa dalam membela penternak-penternak khususnya penternak kecil dalam memastikan usaha mereka berjaya dan tidak menghadapi kegagalan.
“Ini selari dengan hasrat Kerajaan dalam menjamin sekuriti bekalan makanan negeri khususnya dan bekalan makanan Negara amnya,” katanya.