RANAU: Kejayaan dalam bidang sukan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pingat yang dimenangi, sebaliknya perlu dilihat sebagai medium terbaik dalam membentuk disiplin, ketabahan, semangat berpasukan, integriti dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, sukan merupakan medan pendidikan yang berkesan dalam membentuk sahsiah, jati diri dan daya tahan generasi muda, sekali gus melahirkan modal insan berkualiti untuk menerajui pembangunan Sabah pada masa hadapan.
Menurut beliau, sukan bukan sekadar mengenai kemenangan atau berdiri di atas podium, sebaliknya menjadi platform yang mendidik seseorang supaya berdisiplin, menghormati peraturan, menghargai rakan sepasukan serta memiliki semangat kepimpinan dan integriti yang tinggi.
“Setiap latihan, cabaran dan pengorbanan yang dilalui oleh atlet merupakan proses pembelajaran yang membentuk karakter serta mentaliti seorang juara.
“Nilai-nilai yang dipupuk melalui sukan akan menjadi bekalan penting apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-58 Tahun 2026 di Kompleks Sukan Ranau, di sini.
Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politik Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Arthur Sen.
Dr Joachim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, turut menggesa atlet menjadikan kejayaan tokoh sukan seperti Datuk Lee Chong Wei, Cristiano Ronaldo dan Michael Jordan sebagai inspirasi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Katanya, kejayaan yang dikecapi oleh atlet bertaraf dunia itu membuktikan bahawa disiplin, kerja keras, ketekunan dan kesungguhan merupakan asas utama dalam mencapai impian.
“Kegagalan bukanlah penamat kepada perjalanan seorang atlet, sebaliknya pengalaman berharga yang perlu dijadikan pengajaran untuk bangkit dengan lebih kuat dan mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah kerana memilih Ranau sebagai tuan rumah kejohanan, selain mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, jawatankuasa pelaksana serta semua petugas yang bertungkus lumus menjayakan penganjuran kejohanan berkenaan.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran kontinjen daripada 24 daerah di seluruh Sabah dan berharap kejohanan itu menjadi platform terbaik untuk mencungkil lebih ramai atlet berbakat yang mampu mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Sabah akan terus komited menyokong pembangunan sukan dan pendidikan menerusi pelbagai inisiatif bagi memastikan lebih ramai generasi muda berpeluang mengembangkan potensi serta bakat masing-masing.
Pada majlis sama, Dr Joachim turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Haji Raisin Saidin, yang bakal menamatkan perkhidmatan selepas sekian lama menabur bakti dalam memartabatkan pendidikan serta pembangunan sukan sekolah di Sabah.
Kejohanan Olahraga MSS Sabah Kali Ke-58 menghimpunkan atlet-atlet sekolah daripada 24 daerah di seluruh negeri yang bertanding dalam pelbagai acara olahraga. Kejohanan itu turut menjadi medan pemilihan atlet bagi mewakili Sabah ke kejohanan olahraga peringkat kebangsaan.



