HomeUtamaPresiden PRBS nafi guna jawatan dapatkan suapan RM2 juta

Presiden PRBS nafi guna jawatan dapatkan suapan RM2 juta

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatannya mendapatkan suapan berhubung peruntukan RM2 juta bagi pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus.

Makinsos Nawai, 67,  membuat pengakuan itu itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Andi Razalijaya A. Dadi.

“Saya tidak mengaku salah sebab dewan itu telahpun  siap 100 peratus,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Makinsos sebagai pegawai badan awam iaitu Presiden PRBS telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suatu suapan bagi diri sendiri iaitu peruntukan Pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus berjumlah RM2 juta daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

Makinsos didakwa mengambil tindakan mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus tanpa persetujuan daripada Ahli Majlis Tertinggi PRBS.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada sekitar tahun 2022, bertempat di Dewan kebudayaan dan Galery Rungus, Kota Marudu.

Beliau didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah 24(1) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang  daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes pra-perbicaraan. Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 2 hingga 4 November depan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50, 000 namun hanya RM5,000 perlu didepositkan kepada mahkamah dengan dua orang penjamin tempatan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan termasuk melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap sebulan bulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom mengendalikan pendakwaan manakala Makinsos diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh, Prem Elmer Ganasan, Prabjit Singh Gill, dan Ian Vun Chit Khen.

RELATED ARTICLES
Utama

Kompleks Sukan Tongod dijangka siap dalam tempoh lapan bulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular