HomeUtamaUMS, INCEIF University jayakan muzakarah cendekiawan syariah nusantara 2026

UMS, INCEIF University jayakan muzakarah cendekiawan syariah nusantara 2026

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU :  Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus berkembang secara lebih aktif sebagai institusi pendidikan tinggi yang memacu pembangunan ilmu dan kewangan Islam apabila dipilih sebagai rakan penganjur bagi Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara (MCSN) 2026 yang dijayakan bersama INCEIF University. 

Program itu menghimpunkan tokoh dan cendekiawan Syariah, mufti-mufti negeri, wakil badan pengawal selia, institusi kewangan Islam, ahli akademik serta penyelidik dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand bagi membincangkan isu-isu semasa serta hala tuju pembangunan kewangan Islam di peringkat serantau.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pemilihan Sabah sebagai lokasi penganjuran menjadikan UMS sebagai tuan rumah program ilmiah berprestij tersebut, satu pengiktirafan terhadap keupayaan universiti dalam menganjurkan platform wacana yang menghimpunkan pakar-pakar Syariah dan kewangan Islam di rantau Nusantara.

“Kerjasama strategik antara UMS dan INCEIF University melalui ISRA Institute mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh pembangunan ilmu, penyelidikan dan inovasi, sekali gus memperluaskan jaringan kerjasama yang memberi manfaat kepada negara dan ummah.

“UMS bersedia memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pembangunan ekosistem kewangan Islam, khususnya di Sabah melalui penyelidikan, pembangunan bakat dan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena perasmian program tersebut, di sini. 

Perasmian muzakarah berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Menurut beliau, penubuhan Fakulti Pengajian Islam UMS dan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) turut memacu usaha dalam melahirkan graduan dan penyelidik yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam di negara ini.

Pada masa yang sama, Kasim turut menegaskan pembangunan kewangan Islam perlu disokong melalui usaha meningkatkan literasi kewangan bagi melahirkan bakat tempatan, memperkasa komuniti serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat.

UMS juga katanya berharap MCSN 2026 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama strategik yang memberi impak kepada pembangunan Sabah, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah pusat kecemerlangan ilmu dan pembangunan kewangan Islam di Borneo.

Hadir sama pada majlis tersebut Mufti Negeri Sabah; Sahibus Samahah Datuk Dr. Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah; Dato’ Syeikh Zakaria Othman, dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University; Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Azmi Omar.

RELATED ARTICLES
Utama

Kompleks Sukan Tongod dijangka siap dalam tempoh lapan bulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular