HomeUtamaBuaya 'nakal' di Sabah: Kerajaan perkukuh mitigasi, sanctuary antara cadangan dipertimbang

Buaya ‘nakal’ di Sabah: Kerajaan perkukuh mitigasi, sanctuary antara cadangan dipertimbang

Read Time:2 Minute, 18 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Isu konflik manusia dan buaya yang semakin membimbangkan di Sabah terus menjadi perhatian kerajaan negeri, dengan pelbagai langkah mitigasi diperkukuh bagi menangani ancaman reptilia yang disifatkan “nakal” di negeri ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, Sabah tidak menggunakan pendekatan menempatkan pasukan khas secara tetap di sungai seperti dilaksanakan di beberapa negeri lain, sebaliknya menggerakkan sumber kepakaran dan anggota secara lebih fleksibel mengikut lokasi serta tahap risiko.

Beliau berkata, pendekatan itu lebih sesuai dengan keadaan geografi Sabah yang mempunyai rangkaian sungai, muara dan pesisir pantai yang luas serta taburan kawasan konflik yang pelbagai.

“Sejak 2023, Kerajaan Negeri memperkukuhkan usaha mitigasi melalui penubuhan Jawatankuasa Operasi Mitigasi Buaya peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Negeri Sabah.

“Jawatankuasa ini melibatkan Jabatan Hidupan Liar Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi menyelaras operasi, perkongsian maklumat serta tindakan segera terhadap kejadian konflik manusia dan buaya,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Wong Hong Jun (Tanjung Aru) yang meminta kerajaan menjelaskan pelan tindakan menangani konflik manusia dan buaya, termasuk sama ada Sabah akan mencontohi Sarawak yang mempunyai pasukan khas ditempatkan di sungai untuk menangkap buaya semasa Sesi Soal Jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, antara langkah yang sedang dilaksanakan ialah operasi bersepadu, pengurusan buaya berisiko berdasarkan penilaian Jabatan Hidupan Liar Sabah, program kesedaran awam, pemasangan papan tanda amaran serta kerjasama teknikal dengan pihak berkepakaran.

Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pengurusan konflik hidupan liar secara menyeluruh melibatkan bukan sahaja buaya, malah gajah, monyet dan spesies lain melalui pendekatan berasaskan sains, pemantauan berterusan, penyelidikan serta penglibatan komuniti.

Sementara itu, ketika mengemukakan soalan tambahan, Datuk Jaujan Sambakong (Sulabayan) mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan sebuah muzium buaya sebagai produk pelancongan, selain mempertimbangkan penternakan buaya secara terkawal bagi menghasilkan produk berasaskan kulit dan daging yang mempunyai nilai komersial.

Beliau berkata, pendekatan itu boleh menjadikan buaya sebagai tarikan pelancongan seperti yang dilaksanakan di Thailand, di samping memberi pulangan ekonomi kepada negeri.

Menjawab cadangan itu, Andi berkata kerajaan sememangnya mempunyai peruntukan untuk mengeluarkan lesen memburu buaya di kawasan tertentu yang dikenal pasti memerlukan pengurangan populasi secara terkawal, tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Beliau bagaimanapun mengakui pasaran produk berasaskan daging buaya di Malaysia masih kurang mendapat sambutan berbanding beberapa negara lain kerana faktor budaya.

“Buaya di Thailand boleh pula dididik, di Sabah ini nakal buayanya,” katanya berseloroh sehingga mencetuskan gelak tawa dalam Dewan.

Mengulas cadangan mewujudkan muzium buaya, beliau berkata kementerian lebih cenderung mempertimbangkan pembangunan sebuah sanctuary atau pusat perlindungan kerana konsep itu lebih mesra habitat semula jadi berbanding zoo.

“Kita mengambil maklum pandangan Yang Berhormat Sulabayan dan kementerian akan menilai perkara ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kompleks Sukan Tongod dijangka siap dalam tempoh lapan bulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular