Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengambil kira setiap hujah dan pandangan yang dibangkitkan sepanjang Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai asas untuk menambah baik pentadbiran serta merangka dasar kerajaan pada masa hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perbahasan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang memberi input yang bermanfaat kepada kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penangguhan Persidangan (DUN) Sabah di sini, pada Khamis.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sidang Dewan telah selesai dan semua rang undang-undang yang dibentangkan telah diluluskan.
“Apa yang saya perhatikan, perbahasan yang disampaikan oleh kedua-dua pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, adalah baik. Banyak hujah yang dikemukakan akan kita ambil maklum dan diberi perhatian.
“Pandangan itu akan dijadikan asas untuk kita membuat penambahbaikan dalam mentadbir kerajaan serta menentukan dasar-dasar yang akan dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, sebanyak sembilan Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan sepanjang persidangan yang berlangsung selama empat hari, bermula 20 hingga 23 Julai.



