HomeUtama57 warga China didenda kerana tinggal lebih masa, masuk Sabah tanpa pas...

57 warga China didenda kerana tinggal lebih masa, masuk Sabah tanpa pas sah

Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seramai 57 warga China didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan tinggal lebih masa dan memasuki Sabah tanpa pas yang sah.

Kesemua tertuduh yang terdiri daripada 54 lelaki berusia antara 25 hingga 48 tahun dan tiga wanita berusia antara 27 hingga 36 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Hurman Hussain.

Semasa prosiding, kesemua tertuduh dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Daripada jumlah itu, 55 tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh sah pas lawatan masing-masing antara satu hingga 35 hari tanpa alasan munasabah.

Bagi kesalahan itu, setiap tertuduh didenda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Dua lagi tertuduh lelaki pula didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Sabah tanpa pas atau permit yang sah.

Kedua-dua tertuduh itu masing-masing didenda RM4,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit di Sutera Avenue, Jalan Coastal Highway, Sembulan, pada jam 12 tengah hari, 23 April lalu.

Peguam Hairul V. Othman dan Luke Ressa Balang, yang mewakili semua tertuduh, memohon mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah anak guam mereka, selain mereka menyesali perbuatan itu dan akan pulang ke negara asal dengan perbelanjaan sendiri.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Deanivo Sittin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberi kesan pencegahan sebelum semua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK roboh 166 buah struktur setinggan haram bersebelahan Kampung Bandulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular