RANAU: Kontinjen Tawau muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Olahraga Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-58 Tahun 2026 selepas mengungguli kutipan pingat dengan 21 emas, 14 perak dan 9 gangsa.
Kejayaan itu membolehkan Tawau menewaskan kontinjen Kota Kinabalu yang muncul naib juara selepas mengumpul 16 pingat emas, 16 perak dan 13 gangsa.
Kontinjen Tambunan pula menduduki tempat ketiga dengan kutipan sembilan emas, tujuh perak dan tiga gangsa, sekali gus melengkapkan kelompok tiga kontinjen terbaik pada kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Ranau.
Tuan rumah, Ranau, menamatkan saingan di tempat keempat selepas meraih lapan pingat emas, 10 perak dan 10 gangsa.
Kedudukan berikutnya disusuli oleh kontinjen Keningau, Kota Marudu, Lahad Datu dan Pensiangan dalam saingan yang menghimpunkan 24 kontinjen dari seluruh daerah di Sabah.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, yang diwakili Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.
Dalam ucapannya, Masidi berkata kejohanan olahraga peringkat negeri bukan sekadar pertandingan tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat atlet pelapis yang berpotensi mewakili Sabah ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (SUKMA).
Beliau berkata, atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang berpeluang mengharumkan nama Sabah dan negara di pentas lebih tinggi termasuk Sukan SEA, Sukan Asia serta Olimpik.
Masidi turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang berjaya, khususnya mereka yang terpilih mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan.
Beliau turut mengingatkan atlet agar memanfaatkan peluang yang diberikan dengan menunjukkan disiplin, komitmen dan semangat juang yang tinggi, selain menggesa atlet yang belum mencapai sasaran supaya tidak berputus asa kerana setiap cabaran merupakan pengalaman berharga untuk mencapai kejayaan pada masa depan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau selaku penganjur, khususnya Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Abdul Kahar, serta seluruh jawatankuasa pelaksana dan semua pihak yang terlibat atas kejayaan menganjurkan kejohanan itu dengan lancar. Turut hadir pada majlis penutupan ialah Timbalan Pengarah bagi Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Muddin Beting, Ketua Penolong Pengarah



