HomeUtamaESSCOM perkukuh pembangunan modal insan melalui program sekolah angkat MADANI 2026

ESSCOM perkukuh pembangunan modal insan melalui program sekolah angkat MADANI 2026

Read Time:2 Minute, 44 Second

LAHAD DATU : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan modal insan apabila melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI ESSCOM 2026 dengan memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya sebagai sekolah angkat bagi tahun ini.

Majlis peluncuran program tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron, yang turut merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya, Inovasi dan STEM (KERINOV) Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Abdullah Munshi, SMK Sepagaya, di sini, pada Sabtu.

Pemilihan SMK Sepagaya sebagai Sekolah Angkat MADANI ESSCOM mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkukuh agenda Whole of Government menerusi kerjasama strategik bersama institusi pendidikan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya 2.0.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali berkata, Program Sekolah Angkat MADANI membuktikan bahawa keselamatan negara tidak hanya bergantung kepada aspek penguatkuasaan dan kawalan sempadan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), sebaliknya turut memerlukan pembentukan generasi yang berilmu, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh.

Menurut beliau, keamanan yang berkekalan bukan sahaja dibina melalui aset keselamatan yang moden, malah melalui masyarakat yang menghargai keamanan, memiliki integriti tinggi dan semangat patriotisme yang mantap.

“Keamanan yang berkekalan bukan hanya dibina melalui aset keselamatan yang moden, tetapi melalui masyarakat yang berilmu, berintegriti, mempunyai jati diri yang kental serta menghargai keamanan yang dinikmati,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, menerusi program itu ESSCOM akan melaksanakan pelbagai inisiatif bersama pihak sekolah yang merangkumi pembangunan kepimpinan murid, pendidikan keselamatan, kesedaran kenegaraan, kesiapsiagaan menghadapi cabaran, program kesukarelawanan, inovasi sosial serta pemerkasaan sahsiah.

Katanya lagi, kejayaan Program Sekolah Angkat MADANI tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai projek fizikal semata-mata, sebaliknya melalui hubungan jangka panjang yang mampu diwujudkan antara ESSCOM dengan warga sekolah dalam usaha melahirkan generasi yang menghargai keamanan dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan negara.

Bagi tahun 2026, ESSCOM menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan dua projek di SMK Sepagaya, iaitu kerja-kerja penyelenggaraan Gelanggang Serbaguna Sekolah dan Dewan Terbuka Abdullah Munshi bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif untuk aktiviti pembelajaran, kokurikulum serta pembangunan murid.

Sementara itu, Jordan berkata, pendidikan berkualiti memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak termasuk agensi keselamatan, sektor swasta, komuniti dan ibu bapa bagi melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Beliau berkata, dalam era yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi digital, sistem pendidikan perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, malah mempunyai pemikiran kritis, kreatif, inovatif serta kemahiran teknologi yang memenuhi keperluan industri masa depan.

Majlis tersebut turut berlangsung serentak dengan Karnival Pendidikan Kerjaya, Inovasi dan STEM (KERINOV) Peringkat Negeri Sabah 2026 yang menghimpunkan penyertaan sekolah-sekolah dari seluruh negeri sebagai platform memupuk budaya inovasi, memperkasa pendidikan STEM serta memberi pendedahan kepada murid mengenai pelbagai laluan kerjaya masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, Pengetua SMK Sepagaya, Shamsir Nureddin, menyifatkan pemilihan sekolah itu sebagai Sekolah Angkat MADANI ESSCOM membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan di Sabah Timur.

Beliau yakin kerjasama strategik yang terjalin antara ESSCOM dan pihak sekolah akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi dalam aspek akademik, sahsiah, kepimpinan, keselamatan, inovasi dan kesejahteraan murid.

Program Sekolah Angkat MADANI ESSCOM diharapkan menjadi model kerjasama strategik antara agensi keselamatan dan institusi pendidikan dalam melahirkan generasi yang berilmu, berintegriti, berdaya tahan serta cintakan negara demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negeri Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

MAHA Labuan 2026: Ambuyat, ikan ampap jadi tarikan di gerai pameran...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular