HomeUtamaKM Bendahara perkukuh keupayaan APMM di perairan negara

KM Bendahara perkukuh keupayaan APMM di perairan negara

Read Time:1 Minute, 57 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU : Pengoperasian kapal ronda luar pesisir terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) KM BENDAHARA akan memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, pengawasan serta kesiapsiagaan negara, khususnya di perairan Sabah dan Laut China Selatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman berkata pengoperasian kapal itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan maritim negara melalui pemerkasaan aset strategik bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM30 juta bagi membiayai kerja penyelenggaraan dan baik pulih kapal, latihan kru serta pelayaran pulang aset itu ke Malaysia sebagai pelaburan strategik dalam meningkatkan kesiapsiagaan APMM.

“Sabah terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam agenda keselamatan negara memandangkan kedudukannya sebagai benteng hadapan Malaysia di Zon Maritim dan kawasan Laut China Selatan yang mempunyai kepentingan strategik,” katanya.

Awang Alik berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penamaan Kapal Maritim BENDAHARA di sini pada Sabtu.

KM BENDAHARA ialah bekas kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) (USCG) Steadfast (WMEC-623) yang dibina pada 1967 dan menamatkan perkhidmatan selepas lebih lima dekad pada 1 Feb 2024.

Kerajaan Malaysia memperoleh kapal itu menerusi Program Jualan Ketenteraan Asing (FMS) AS dan diserahkan secara rasmi kepada APMM pada 5 Sept 2025 di Baltimore, AS.

Awang Alik berkata ia mencerminkan hubungan strategik yang semakin erat antara Malaysia dan AS dalam bidang keselamatan maritim selain simbol kepercayaan tinggi terhadap peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam memastikan keselamatan perairan serantau.

Selain itu, Awang Alik merakamkan penghargaan kepada seluruh kru KM BENDAHARA atas kejayaan membawa pulang kapal itu dengan selamat selepas mengharungi pelayaran selama lebih 49 hari bermula 17 Sept 2025.

“Pelayaran bersejarah itu merentasi tujuh lautan, empat teluk utama dunia dan dua selat antarabangsa sebelum tiba di Klang, Selangor pada 4 Nov dan seterusnya di Kota Kinabalu pada 14 Nov 2025.

“Sepanjang pelayaran, selain latihan bersama-sama USCG, kru kapal menempuh pelbagai cabaran termasuk gangguan teknikal serta insiden spoofing isyarat navigasi yang berjaya diatasi hasil profesionalisme, ketahanan mental dan semangat kerja berpasukan yang tinggi,” katanya.

Awang Alik berkata KM BENDAHARA akan beroperasi bersama-sama aset ronda luar pesisir APMM lain termasuk KM TUN FATIMAH dan KM ARAU bagi memperkukuh kehadiran operasi, rondaan serta penguatkuasaan di Laut China Selatan dan perairan Sabah.

Mengenai pemilihan nama kapal, beliau berkata BENDAHARA melambangkan kebijaksanaan, kewibawaan, kesetiaan serta amanah yang menjadi tonggak pentadbiran Kesultanan Melayu yang diharapkan akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga kapal. BERNAMA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Insiden Kematian Di Nabawan Uji Ketegasan ECOS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular