KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial berhubung dakwaan berlaku penahanan dalam keadaan sesak sehingga mengakibatkan ramai tahanan warganegara Filipina meninggal dunia di Depot Tahanan Imigresen Negeri Sabah.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, JIM Negeri Sabah ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan.
Katanya, gambar-gambar yang tular di media sosial tersebut bukan merupakan gambar yang merujuk kepada mana-mana Depot Tahanan Imigresen di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
“Semua tahanan warganegara Filipina yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Negeri Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sh Sitti Saleha, sepanjang tempoh tahanan, semua penghuni depot diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa.
“Tahanan turut diberikan kemudahan asas termasuk penyediaan makanan mengikut jadual yang ditetapkan serta mematuhi menu dan ketetapan nutrisi yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut keperluan orang dewasa dan kanak-kanak.
“Selain itu, tahanan turut diberikan akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan serta keperluan asas lain mengikut keperluan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa proses penghantaran pulang tahanan warganegara Filipina melalui operasi kapal dari Sandakan ke Zamboanga, yang sebelum ini merupakan laluan utama repatriasi, telah digantung operasinya oleh pihak berkuasa Filipina sejak bulan Februari 2026.
“Keadaan ini telah memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal,” katanya.
Justeru, beliau memaklumkan, bagi memastikan proses repatriasi terus dilaksankan, JIM Negeri Sabah menggunakan laluan alternatif iaitu melalui penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao.
Walau bagaimanapun, katanya, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan alternatif ini adalah tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan berkenaan.
Sh Sitti Saleha turut menegaskan JIM Negeri Sabah sentiasa komited untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang, prosedur yang ditetapkan serta kerjasama erat dengan pihak berkuasa Republik Filipina.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat, gambar atau kandungan yang tidak sahih dan mengelirukan.
“Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat yang tepat hanya melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia,” tegasnya.



