KOTA KINABALU: Kejohanan Tenpin Boling Piala Pengarah Yayasan Sabah berjaya menghimpunkan hampir 100 peserta daripada pelbagai bahagian di bawah Kumpulan Yayasan Sabah dalam usaha memperkukuh semangat kekitaan, menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk budaya kerja berpasukan.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Komuniti Ibu Bapa Guru, Bahagian Perkembangan Kanak-Kanak (KIBG BPKK) itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-60 Yayasan Sabah pada tahun ini.
Peserta terdiri daripada kakitangan ibu pejabat, anak-anak syarikat, wilayah, zon, cawangan Kuala Lumpur serta ahli Komuniti Ibu Bapa Guru, sekali gus menjadikan kejohanan itu sebagai platform pertemuan warga kerja dari pelbagai lokasi.

Pengarah Yayasan Sabah, Dato Sri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, beliau berasa gembira melihat sambutan yang diberikan oleh warga Kumpulan Yayasan Sabah terhadap program berkenaan.
Beliau menyifatkan penyertaan yang memberangsangkan itu mencerminkan semangat kebersamaan dan komitmen warga kerja dalam menjayakan aktiviti yang bukan sahaja menguji kemahiran sukan, malah memperkukuh hubungan sesama rakan sekerja.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman, manakala penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengarah Yayasan Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Mohd Redzuan Mohd Zin, berkata kejohanan tersebut bertujuan membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan warga Kumpulan Yayasan Sabah, ibu bapa dan guru.
Menurutnya, penganjuran itu juga menjadi persediaan awal bagi menyemarakkan semangat menjelang Kejohanan Pesta Sukan Antara Wilayah Kumpulan Yayasan Sabah, selain mengeratkan hubungan dan kerjasama antara kakitangan dari pelbagai bahagian, wilayah dan anak-anak syarikat.
“Dengan adanya program seperti ini, warga kerja berpeluang berinteraksi dalam suasana santai di luar persekitaran pejabat, sekali gus memperkukuh semangat berpasukan yang penting dalam organisasi,” katanya.
Dalam pertandingan itu, Team One yang dianggotai Nurul Ashikeen Salehuddin, Norjie Busu, Zaim Zhafran dan Asri Nasif muncul juara kategori berpasukan sekali gus menjulang Piala Pengarah Yayasan Sabah.
Nurul Ashikeen turut mengungguli kategori Pemain Terbaik Wanita Keseluruhan, manakala Wan Redzuan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Lelaki Keseluruhan.
Kejohanan itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai antara platform terbaik untuk memupuk budaya kerja yang sihat, mempererat silaturahim serta menyemai semangat kekeluargaan dalam kalangan seluruh warga Kumpulan Yayasan Sabah.



