HomeUtama127 pelajar cemerlang Sabah bakal terima ABCNS, BKNS dan Anugerah MUIS

127 pelajar cemerlang Sabah bakal terima ABCNS, BKNS dan Anugerah MUIS

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Seramai 127 pelajar cemerlang Sabah bakal menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS), Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dan Anugerah Cemerlang Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang dijadual akan disampaikan Khamis ini.

Anugerah dan biasiswa yang akan disampaikan Ketua Menteru Datuk Seri Hajiji Noor itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik cemerlang pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 itu dijadual akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) 

Majlis berprestij itu dianjurkan secara kolaboratif oleh Kumpulan Yayasan Sabah, BKNS dan MUIS sebagai usaha memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti serta memperluaskan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang daripada pelbagai aliran pendidikan di negeri ini.

Daripada keseluruhan penerima, seramai 50 pelajar cemerlang SPM akan menerima ABCNS, 60 pelajar cemerlang STPM dan Matrikulasi akan menerima BKNS yang ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, manakala 17 pelajar cemerlang STAM akan menerima Anugerah Cemerlang MUIS.

Bersempena ulang tahun ke-60 Yayasan Sabah, jumlah penerima ABCNS turut ditingkatkan daripada 40 kepada 50 orang sebagai tanda komitmen berterusan institusi itu dalam menghargai kecemerlangan akademik serta melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti.

Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Dr. Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, penganugerahan tersebut bukan sekadar menghargai pencapaian akademik, malah menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berjiwa kepimpinan dan bersedia memikul tanggungjawab membangunkan negeri.

Beliau berkata, generasi muda merupakan aset paling berharga kepada negara dan masa depan Sabah bergantung kepada keupayaan melahirkan anak-anak muda yang berilmu, berdaya tahan serta berintegriti.

“ABCNS bukan sekadar satu bentuk penghargaan terhadap kecemerlangan akademik pelajar, malah merupakan pemangkin dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berjiwa kepimpinan serta bersedia memikul tanggungjawab untuk membangunkan negeri.

“Kami percaya bahawa generasi muda merupakan aset paling berharga bagi negara. Masa depan Sabah bergantung kepada keupayaan kita membentuk anak-anak muda yang berilmu, berdaya tahan dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua bakal penerima supaya menjadikan pengiktirafan tersebut sebagai titik permulaan untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi serta terus mengekalkan disiplin, ketekunan dan semangat menimba ilmu.

Menurut beliau, kecemerlangan bukan hanya diukur melalui anugerah yang diterima, tetapi juga melalui usaha berterusan untuk memperbaiki diri, mengembangkan potensi serta menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah bersama Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan MUIS dalam memperkasa pendidikan berkualiti serta melahirkan generasi berilmu, kompeten dan berdaya saing.

Majlis berkenaan turut dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar daripada pelbagai sekolah sekitar Kota Kinabalu sebagai platform inspirasi dan motivasi untuk menyemai budaya kecemerlangan akademik dalam kalangan generasi muda.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Insiden Kematian Di Nabawan Uji Ketegasan ECOS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular