HomeUtamaWarga asing dipenjara tujuh tahun, satu sebat amang seksual remaja

Warga asing dipenjara tujuh tahun, satu sebat amang seksual remaja

Read Time:1 Minute, 16 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendakwa berada dalam keadaan mabuk ketika melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh, Jesbir Rasmin, 28, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Herman Hussain, hari ini.

Warga Filipina itu mengaku melakukan kesalahan berkenaan pada 17 Julai lalu, kira-kira jam 12.57 tengah hari, di sebuah tokong berhampiran sini.

Dia disabitkan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada tarikh tertuduh ditangkap.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan menyatakan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Jesbir mengakui perbuatannya adalah salah serta mendakwa dia berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Tertuduh turut memohon maaf kepada mahkamah dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Bagaimanapun, apabila ditanya Hakim Herman Hussain siapa yang menyuruhnya meminum alkohol sehingga mabuk, tertuduh menjawab dia berbuat demikian atas kehendaknya sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesan psikologi yang dialami mangsa, kepentingan awam dan hakikat bahawa kesalahan itu dilakukan pada waktu siang di tempat awam.

Terdahulu, di hadapan hakim yang sama, Jesbir turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah memasuki Sabah tanpa pas yang sah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didakwa tipu RM40,000 tawar projek bina masjid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular