KOTA KINABALU: Kesatuan Jurutera-Jurutera (KJJ) Sabah Electricity mengorak langkah memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik syarikat apabila Mesyuarat Agung Tahunan KJJ yang diadakan pada Sabtu menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi menerajui kesatuan untuk penggal akan datang.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, yang menyeru seluruh ahli kesatuan agar terus memperkukuhkan perpaduan serta memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan ahli di samping menyokong agenda transformasi syarikat menerusi RESET 2030.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa hubungan erat antara pihak pengurusan dan kesatuan merupakan asas penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni, produktif dan progresif.
“Kesatuan bukan sahaja menjadi platform memperjuangkan kebajikan ahli, malah merupakan rakan strategik kepada pengurusan dalam membina organisasi yang lebih kukuh dan berdaya saing.
“Saya berharap KJJ akan terus memperkasakan peranannya serta meningkatkan kesedaran mengenai manfaat keahlian agar lebih ramai jurutera mendapat manfaat daripada platform ini,” katanya.
Mohd Yaakob turut menyeru para jurutera Sabah Electricity untuk terus meningkatkan kompetensi profesional dan membina reputasi sebagai tenaga pakar yang dihormati bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan Ahmad Syazwan Saidin, Jurutera Kanan dipilih sebagai Yang Dipertua KJJ baharu bagi menerajui kesatuan untuk sesi akan datang.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Yang Dipertua, Ir.Ts. Ahmad Syazwan merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli kesatuan dan komited untuk memperkukuh peranan KJJ sebagai platform yang memperjuangkan kebajikan, pembangunan profesional serta kepentingan jurutera Sabah Electricity.
“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli KJJ. Kepimpinan baharu ini akan meneruskan usaha memperkukuh hubungan baik dengan pihak pengurusan demi memastikan kebajikan ahli sentiasa diberi perhatian, di samping menyokong segala inisiatif strategik syarikat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa KJJ akan terus menjadi platform yang menyatukan warga kejuruteraan dalam melahirkan tenaga profesional yang kompeten, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran industri tenaga masa hadapan.
“KJJ juga akan terus memperkasakan pembangunan profesional ahli melalui program peningkatan kompetensi, perkongsian ilmu dan penglibatan aktif dalam inisiatif yang menyokong aspirasi syarikat kelak,” ujarnya.



