HomePendapatEkonomi Sabah Catat Pertumbuhan Tertinggi dalam Enam Tahun

Ekonomi Sabah Catat Pertumbuhan Tertinggi dalam Enam Tahun

Read Time:3 Minute, 59 Second

Oleh Wan Azrain

Sabah telah merekodkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada 2025. Lonjakan ini jelas menggambarkan kejayaan pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada Mac 2021 bagi merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial negeri.

Beberapa hari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar Mengikut Negeri 2025. Berdasarkan laporan itu, Malaysia merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada 2025, sama seperti pada 2024. Nilai KDNK negara meningkat daripada RM1,651 bilion kepada RM1,737 bilion.

Bagi sektor ekonomi negara, sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus, sama seperti pada 2024. Sektor pembuatan pula berkembang sebanyak 4.5 peratus, berbanding 4.2 peratus pada 2024.

Tiga sektor merekodkan pertumbuhan yang lebih perlahan pada 2025 berbanding 2024, iaitu pertanian (2.2 peratus berbanding 3.4 peratus), perlombongan dan pengkuarian (0.6 peratus berbanding 1.2 peratus) serta pembinaan (12.2 peratus berbanding 17.6 peratus).

Dalam kalangan negeri dan wilayah, Johor merekodkan pertumbuhan KDNK tertinggi pada kadar 8.0 peratus, diikuti Pulau Pinang (7.3 peratus), Selangor (6.3 peratus), Perak (5.7 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (5.2 peratus). Pertumbuhan KDNK terendah pula direkodkan oleh Terengganu (1.6 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (1.7 peratus) dan Perlis (2.0 peratus).

Sabah merekodkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.1 peratus pada 2025, sekali gus menduduki tempat keenam tertinggi di Malaysia. Nilai KDNK Sabah meningkat daripada RM84.5 bilion pada 2024 kepada RM88.8 bilion. Secara keseluruhan, Sabah menyumbang 5.1 peratus kepada KDNK negara yang bernilai RM1,737 bilion.

Prestasi ini jauh lebih baik berbanding pertumbuhan hanya 1.2 peratus pada 2024. Peningkatan ketara itu amat memberangsangkan ketika pertumbuhan KDNK negara kekal pada kadar 5.2 peratus. Pada masa sama, majoriti negeri dan wilayah — termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak, Terengganu, Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya — merekodkan pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan berbanding 2024.

Malah, kadar 5.1 peratus itu merupakan pertumbuhan KDNK Sabah tertinggi dalam tempoh enam tahun, selepas negeri ini merekodkan pertumbuhan yang perlahan selama beberapa tahun.

Pelaburan20242025
Jumlah PelaburanRM 6.457 bilionRM 14.550 bilion
Pelaburan DomestikRM 5.377 bilionRM 7.931 bilion
Pelaburan AsingRM 1.060 bilionRM 6.618 bilion

Pada masa sama, semua sektor ekonomi di Sabah mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding 2024. Sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 4.5 peratus, berbanding 4.2 peratus pada 2024. Sektor pembuatan pula tumbuh sebanyak 5.0 peratus, berbanding 1.2 peratus, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian berkembang sebanyak 4.9 peratus selepas menguncup 4.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Sektor pertanian Sabah turut kembali mencatat pertumbuhan sebanyak 0.9 peratus selepas menguncup 3.2 peratus pada 2024. Perubahan ini didorong oleh peningkatan prestasi subsektor kelapa sawit. Walaupun pertumbuhannya masih perlahan, Sabah merupakan penyumbang kelima tertinggi kepada sektor pertanian negara, dengan sumbangan sebanyak 11.6 peratus.

Paling memberangsangkan, sektor pembinaan Sabah terus rancak dan berkembang pesat dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 28.3 peratus, meningkat daripada 21.5 peratus pada 2024. Angka ini merupakan pertumbuhan sektor pembinaan tertinggi di Malaysia, diikuti Johor (26.7 peratus) dan Selangor (16.0 peratus).

Pertumbuhan itu didorong oleh subsektor kejuruteraan awam. Perkembangan ini membuktikan bahawa tekad Kerajaan Sabah untuk menyelesaikan isu legasi serta menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam yang lebih baik kepada rakyat sedang dilaksanakan dengan pantas.

Pertumbuhan KDNK Sabah turut seiring dengan lonjakan pelaburan yang diterima. Pada 2025, Sabah menerima pelaburan berjumlah RM14.55 bilion, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM6.45 bilion pada 2024.

Selain itu, keyakinan pelabur asing terhadap Sabah terus mengukuh apabila pelaburan asing melonjak daripada RM1.06 bilion kepada RM6.62 bilion.

Pelaburan 2024 2025
Jumlah pelaburan RM6.457 bilion RM14.550 bilion
Pelaburan domestik RM5.377 bilion RM7.931 bilion
Pelaburan asing RM1.060 bilion RM6.618 bilion

Seiring pertumbuhan KDNK yang lebih pesat dan lonjakan pelaburan, kadar pengangguran serta jumlah penganggur di Sabah turut menurun. Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2026 oleh DOSM menunjukkan kadar pengangguran menurun daripada 6.0 peratus pada suku tahun keempat 2025 kepada 5.5 peratus pada suku tahun pertama 2026.

Dalam tempoh sama, jumlah penganggur berkurang daripada 112.4 ribu kepada 103.4 ribu orang. Ini bermakna lebih banyak peluang pekerjaan berjaya diwujudkan untuk rakyat Sabah.

Data sedia ada menggambarkan prospek Sabah yang semakin cerah. Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, Sabah dijangka mengalami pertumbuhan ekonomi pesat sebanyak 5.8 peratus setahun.

Sehingga kini, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 bagi tempoh 2021 hingga 2025 telah dilaksanakan dengan baik dan menghasilkan pelbagai kejayaan yang meletakkan Sabah pada landasan pembangunan yang kukuh.

Justeru, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan meneruskan momentum kejayaan itu secara mampan dan inklusif, sekali gus menterjemahkannya kepada kesejahteraan rakyat Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

China Energy teroka peluang pelaburan di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular