HomeUtamaPoliteknik Kota Kinabalu tubuh 'Solar Training Excellence Center' pertama di Sabah

Politeknik Kota Kinabalu tubuh ‘Solar Training Excellence Center’ pertama di Sabah

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU :  Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mencipta sejarah apabila bakal menjadi institusi pertama di Sabah yang memiliki ‘Solar Training Excellence Center’, sekali gus memperkukuh peranan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga mahir bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara.

Penubuhan pusat latihan bernilai RM156,000 itu diumumkan sempena Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Projek Pembangunan Pusat Latihan dan Penyelidikan Tenaga Boleh Baharu serta Penyerahan Alat Suis dan Alat Ubah bagi Tujuan Latihan dan Pengajaran yang berlangsung di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu.

Inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP) bagi Projek Pencawang Masuk Utama (PMU) Beaufort dengan pemantauan Technology Depository Agency Berhad (TDA), hasil kerjasama kementerian, agensi kerajaan dan rakan industri dalam memperkasakan pembangunan modal insan serta pemindahan teknologi berimpak tinggi.

Melalui penubuhan pusat berkenaan, PKK bakal menawarkan Pensijilan Reka Bentuk Sistem Off-Grid Photovoltaic yang diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Suruhanjaya Tenaga Sabah.

Pusat latihan itu mampu menempatkan seramai 15 peserta bagi setiap sesi, sekali gus menyediakan platform latihan profesional kepada pelajar, pensyarah dan tenaga kerja industri yang ingin meningkatkan kompetensi dalam bidang sistem solar dan tenaga boleh baharu.

Selain melahirkan tenaga kerja mahir, kewujudan Solar Training Excellence Center dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri tenaga hijau di Sabah, sejajar dengan usaha kerajaan mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional.

Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Asnizah Sahekhaini, berkata inisiatif tersebut merupakan satu langkah strategik dalam merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri.

Menurut beliau, pusat latihan itu bukan sahaja meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan TVET, malah meletakkan Politeknik Kota Kinabalu sebagai hab rujukan utama latihan teknikal dan teknologi hijau di wilayah Borneo.

Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan peralatan elektrik voltan tinggi industri berupa switchgear dan transformer yang telah diubah suai menggunakan reka bentuk keratan rentas (cutaway) bagi tujuan latihan dan pengajaran kepada Jabatan Kejuruteraan Elektrik Politeknik Kota Kinabalu serta Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Peralatan berkenaan membolehkan pelajar memahami struktur dalaman, fungsi teknikal dan operasi sistem elektrik sebenar secara lebih praktikal serta selamat, sekali gus meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran berasaskan industri.

RELATED ARTICLES
Utama

10 tangki baharu perkukuh bekalan air Puncak Gloxinia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular