HomeUtamaSarjan polis didenda RM5,000 cuba peroleh RM2,000 dari suspek

Sarjan polis didenda RM5,000 cuba peroleh RM2,000 dari suspek

Read Time:1 Minute, 15 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang sarjan polis didenda RM5,000, atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda, oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba mendapatkan wang RM2,000 daripada seorang yang disyaki sebagai pesalah dadah tegar.

Hakim Mahkamah Sesyen Andi Razalijaya A. Dadi menjatuhkan hukuman itu terhadap Zakaria Mohd Jasni, 42, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Zakaria yang bertugas di Jabatan Siasatan Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat, telah cuba mendapatkan bagi dirinya suatu benda berharga tanpa balasan, iaitu wang berjumlah RM2,000 daripada seorang individu, yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.

Pertuduhan turut menyatakan individu berkenaan merupakan seorang pesalah dadah tegar di Kudat.

Kesalahan itu dilakukan pada 18 Jun 2021, kira-kira jam 12.20 tengah hari, di sebuah premis di Kudat.

Dia didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Luke Ressa Balang dalam rayuannya antara lain memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh menyesali perbuatannya serta mempunyai tiga orang anak untuk ditanggung.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom, berkata kepentingan awam perlu diberi keutamaan dalam menjatuhkan hukuman memandangkan kes itu melibatkan tugas anggota polis dalam membanteras jenayah dadah.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai seorang penjawat awam, tertuduh sepatutnya berintegriti, berdisiplin dan mematuhi undang-undang, namun perbuatannya telah mencemarkan imej penjawat awam serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap penjawat awam.

RELATED ARTICLES
Utama

PIBG perlu patuh Perlembagaan bagi perkasa tadbir urus sekolah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular