SANDAKAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh Sabah perlu sentiasa mematuhi Perlembagaan PIBG bagi memastikan tadbir urus persatuan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berkesan demi menyokong pembangunan pendidikan serta kesejahteraan murid.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, Perlembagaan PIBG merupakan dokumen utama yang menjadi panduan dalam setiap aspek pengurusan persatuan termasuk proses membuat keputusan, pelaksanaan mesyuarat, pengurusan kewangan, pelantikan jawatankuasa dan pelaksanaan program.
Menurut beliau, pematuhan terhadap perlembagaan itu penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil oleh kepimpinan PIBG selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus mengelakkan sebarang isu berkaitan tadbir urus.

“Perlembagaan PIBG bukan sekadar dokumen pentadbiran, malah menjadi asas kepada pengurusan persatuan yang sistematik, telus dan berakauntabiliti. Semua keputusan hendaklah dibuat berpandukan perlembagaan serta mengutamakan kepentingan murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Libat Urus Perlembagaan PIBG yang menghimpunkan kepimpinan PIBG Daerah Sandakan.
Mohammad Arif berkata, PIBG memainkan peranan penting sebagai penghubung antara ibu bapa dengan pihak sekolah dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik, pembentukan sahsiah, kebajikan murid, pembangunan infrastruktur serta aspek keselamatan dan disiplin.

Katanya, peranan itu bagaimanapun perlu dilaksanakan sebagai rakan strategik kepada pihak sekolah dan bukannya mengambil alih tanggungjawab pentadbiran sekolah.
Beliau turut mengingatkan bahawa aspirasi memperkukuhkan penglibatan ibu bapa dan komuniti yang digariskan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 akan diteruskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, khususnya menerusi Teras Ke-5 yang memberi penekanan kepada pengukuhan sinergi antara KPM, ibu bapa, komuniti, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua PIBG supaya terus memperkukuhkan tadbir urus dengan mematuhi Perlembagaan PIBG, mengurus kewangan secara berhemah, meningkatkan komunikasi dengan ibu bapa, memanfaatkan teknologi digital serta memperluaskan kerjasama melalui inisiatif PIBKS.
Dalam pada itu, beliau berkata, Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari PIBG perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara profesional dengan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan Perlembagaan PIBG, pekeliling KPM serta prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
“Marilah kita menjadikan program ini sebagai platform untuk menambah ilmu, berkongsi pengalaman dan memperkukuhkan kerjasama bagi melahirkan PIBG yang profesional, berintegriti dan berkesan demi kecemerlangan pendidikan serta masa depan anak-anak,” katanya.
Program Libat Urus Perlembagaan PIBG itu mencatat kehadiran penuh daripada 89 buah sekolah di daerah Sandakan yang terdiri daripada 66 sekolah rendah dan 23 sekolah menengah.
Program berkenaan melibatkan penyertaan 267 orang kepimpinan PIBG, merangkumi 89 Yang Dipertua (YDP) PIBG, 89 Setiausaha dan 89 Bendahari.
Turut terlibat ialah 20 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Pelaksana, menjadikan keseluruhan kehadiran program seramai 287 peserta.



