HomeUtamaMaritim Malaysia tahan 10 Kru warga asing, VNT tamat tempoh lesen

Maritim Malaysia tahan 10 Kru warga asing, VNT tamat tempoh lesen

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) di perairan Pulau Tiga, semalam, selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd. Majid @ Razali berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 5.36 petang ketika rondaan penguatkuasaan dijalankan di kedudukan lebih kurang dua batu nautika di tenggara Pulau Tiga.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh 10 kru termasuk nakhoda, terdiri daripada sembilan warga Filipina dan seorang warga Indonesia berusia antara 23 hingga 53 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah sebagaimana dikehendaki di bawah Akta Imigresen 1959/63. 

“Selain itu, vesel tersebut turut disyaki beroperasi menggunakan lesen perikanan yang telah tamat tempoh, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua kru bersama vesel berkenaan telah ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Malaysia bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM300,000,” katanya.

Mohd Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia memandang serius setiap pelanggaran undang-undang di perairan negara dan akan terus memperhebat rondaan serta operasi penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi.

Beliau mengingatkan semua pemilik vesel, pengusaha dan kru supaya sentiasa memastikan lesen perikanan, permit operasi serta dokumen pengenalan diri adalah sah dan masih berkuat kuasa sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.

“Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan bukan sahaja merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang, malah boleh menyebabkan vesel ditahan serta kru ditangkap dan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Jangan sesekali memandang ringan pematuhan terhadap undang-undang. Maritim Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau cuba mengambil kesempatan di perairan negara. 

“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan perairan negara, melindungi sumber perikanan serta mengekalkan kedaulatan Zon Maritim Malaysia,” tegas beliau.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

RELATED ARTICLES
Utama

Sarjan polis didenda RM5,000 cuba peroleh RM2,000 dari suspek

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular