HomeUtamaDua penjaja tanpa lesen dikompaun, motosikal dan peralatan turut disita DBKK

Dua penjaja tanpa lesen dikompaun, motosikal dan peralatan turut disita DBKK

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap dua penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah dalam Operasi Todak di kawasan Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) dan Pasar Besar Kota Kinabalu, pada Selasa lalu.

Dalam operasi bersepadu itu, DBKK turut menyita sebuah motosikal serta beberapa peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti perniagaan berkenaan.

Operasi Todak yang bermula pada jam 11 malam itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dan SAFMA.

Tindakan terhadap penjaja terbabit merupakan sebahagian daripada usaha DBKK memastikan aktiviti perniagaan di kawasan tumpuan awam dijalankan mengikut peraturan dan mempunyai lesen yang sah.

Penguatkuasaan berkenaan turut bertujuan memastikan kawasan SAFMA dan Pasar Besar Kota Kinabalu kekal teratur, bersih serta tidak terjejas oleh aktiviti perniagaan yang melanggar syarat ditetapkan.

Dalam operasi sama, JIM membuat pemeriksaan terhadap 521 Orang Yang Diperiksa (OYDP) dan menahan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua PATI terbabit kemudiannya dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Bagi penguatkuasaan di kawasan perairan pula, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dengan kerjasama APMM memeriksa empat bot, manakala lesen asal sebuah bot ditahan berikutan kesalahan melibatkan dokumen pengenalan pelaut warga asing yang telah tamat tempoh.

APMM turut menggerakkan dua aset maritim membabitkan 14 anggota untuk membuat pemeriksaan terhadap sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT), dengan tujuh kru diperiksa sebelum diserahkan kepada JIM bagi tindakan lanjut.

Bagi memastikan keseluruhan operasi berlangsung dengan selamat dan terkawal, PDRM turut menggerakkan 21 anggota daripada Balai Polis Kota Kinabalu, Team Cantas dan Pasukan Polis Marin.

DBKK memaklumkan, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bersepadu secara berkala bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai sebuah bandar raya yang bersih, selamat, teratur dan berdaya huni.

RELATED ARTICLES
Utama

Tipu guna iklan sewa rumah di Facebook, lelaki dipenjara empat tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular