Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) wajar membuka peluang kepada pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di institusi itu sebagai langkah memperkukuh reputasi global serta kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi serantau.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kemasukan pelajar antarabangsa mampu meningkatkan reputasi global UCSF, selain merangsang perkongsian ilmu yang lebih pelbagai dan memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
“Langkah ini dapat meningkatkan reputasi global institusi, merangsang perkongsian ilmu yang pelbagai, serta memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
“Syabas juga kepada UCSF atas usaha memperkukuhkan jaringan antarabangsa. Hubungan strategik bersama institusi di Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina membuktikan bahawa UCSF tidak lagi melihat sempadan geografi sebagai batas kepada kecemerlangan.
“Sebaliknya, universiti ini sedang membuka ruang yang lebih luas kepada mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama serta pembangunan komuniti rentas negara,” katanya.
Hajiji yang juga Canselor UCSF berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-4 UCSF di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata pengukuhan jaringan antarabangsa berkenaan berupaya memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab pendidikan, khususnya di rantau Borneo dan kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Katanya, UCSF memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda berkenaan, khususnya sebagai institusi pendidikan tinggi milik Yayasan Sabah.
“UCSF bukan sahaja menjadi pusat penyampaian ilmu, malah menjadi wadah untuk melahirkan generasi baharu Sabah yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Hajiji berkata beliau turut menyambut baik usaha UCSF memperluaskan penawaran akademik menerusi pembukaan program baharu seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Asasi Sains serta pembangunan program Sarjana Muda Seni Bina (Kepujian).
Menurutnya, usaha membangunkan program di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah menunjukkan UCSF sedang melangkah ke fasa baharu sebagai institusi yang memberi penekanan lebih besar terhadap penyelidikan, inovasi dan pembangunan ilmu.
“Usaha membangunkan program Sarjana dan Doktor Falsafah menunjukkan bahawa UCSF sedang melangkah ke fasa baharu sebagai institusi yang memberi penekanan kepada penyelidikan, inovasi dan pembangunan ilmu pada tahap lebih tinggi.
“Inilah transformasi yang kita harapkan daripada sebuah institusi pengajian tinggi.
“Saya juga dimaklumkan bahawa UCSF adalah institusi utama yang membekalkan tenaga mahir untuk industri pelancongan dan perhotelan di negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan pendidikan tinggi di Sabah bagi memastikan sektor berkenaan terus menjadi pemangkin pembangunan modal insan negeri.
“Saya yakin dengan kepimpinan Naib Canselor, Lembaga Pengarah, pengurusan universiti, para akademik, seluruh warga kerja universiti dan sudah tentu Yayasan Sabah, UCSF akan terus melakar lebih banyak kejayaan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata agenda pembangunan modal insan Sabah terus diperkukuh menerusi peruntukan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini.
Katanya, peruntukan berkenaan memberi manfaat kepada ribuan pelajar yang melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Peruntukan ini digunakan untuk menampung pelajar sedia ada serta tajaan baharu tahun 2026, membabitkan seramai 2,182 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.
“Sehingga kini jumlah keseluruhan pelajar yang menerima tajaan BKNS telah mencecah 13,389 orang, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan pendidikan kekal menjadi keutamaan kerana sektor itu merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Menurutnya, pembangunan modal insan perlu terus diperkukuh kerana Sabah memerlukan graduan yang mempunyai kemahiran tinggi, berdaya saing serta mampu berfikir secara kreatif bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri juga bertekad meneruskan pelbagai program bantuan pendidikan, termasuk 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021.
Antara bantuan berkenaan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS/SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
“Langkah yang kita ambil ini adalah untuk membantu pelajar serta keluarga, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan pendidikan,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berharap para pelajar terus mengekalkan kecemerlangan akademik selain menerokai dan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang strategik yang menjadi pemacu pembangunan masa hadapan.
Katanya, antara bidang yang perlu diberi perhatian termasuk sektor minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta bidang Kecerdasan Buatan (AI).
Beliau berkata penguasaan dalam bidang strategik berkenaan penting bagi memastikan Sabah mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan. – SABAH MEDIA



