HomeUtamaBeaufort disasar jadi hab pengeluaran udang di Sabah

Beaufort disasar jadi hab pengeluaran udang di Sabah

Read Time:2 Minute, 30 Second

BEAUFORT: Beaufort disasar untuk menjadi hab pengeluaran udang di Sabah berikutan daerah itu mempunyai potensi besar untuk mengembangkan industri ternakan udang.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, potensi tersebut didukung oleh kawasan bakau yang luas, sumber air yang bersih serta kedudukan strategik Beaufort yang berhampiran dengan Brunei, Labuan, Sarawak, Keningau dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pembangunan industri ternakan udang secara lebih tersusun mampu membuka peluang kepada lebih ramai usahawan untuk menceburi sektor berkenaan, selain membantu memperkukuh sekuriti makanan dan merancakkan ekonomi luar bandar.

“Hasrat kita untuk menjadikan Beaufort sebagai hab pengeluaran udang di Sabah. Dengan infrastruktur yang lebih baik serta sokongan kerajaan, lebih ramai usahawan mampu menceburi industri ini sekali gus memperkukuh sekuriti makanan dan merancakkan ekonomi luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program pelepasan 400,000 benih udang sumbangan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bernilai RM10,000 di kolam ternakan udang Kampung Bintuka, di sini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, usaha memperkukuh infrastruktur asas amat penting bagi memastikan pengusaha ternakan udang dapat meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi.

Katanya, antara keperluan utama yang sedang diberi perhatian ialah bekalan elektrik yang lebih stabil bagi menyokong operasi kolam ternakan udang di Kampung Bintuka.

“Hasil perbincangan dengan Sabah Electricity (SE) daerah Beaufort, sebuah transformer baharu diperlukan bagi menampung keperluan bekalan elektrik kepada kira-kira 100 hingga 150 kolam ternakan udang.

“Kita akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri selain meneliti penggunaan dana kementerian bagi merealisasikan pemasangan transformer ini,” katanya.

Menurut beliau, masalah bekalan elektrik yang tidak mencukupi ketika ini menyebabkan kebanyakan pengusaha masih bergantung kepada generator diesel, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran.

Justeru, katanya, peningkatan kestabilan bekalan elektrik dijangka dapat membantu pengusaha mengurangkan kos operasi dan seterusnya menawarkan harga jualan yang lebih kompetitif kepada pengguna.

Dalam pada itu, Ruslan berkata, kementerian turut merancang menyediakan kemudahan penyimpanan sejuk beku bagi membantu pengusaha mengurus lebihan hasil ternakan sebelum dipasarkan.

Katanya, kemudahan berkenaan bukan sahaja dapat mengekalkan kesegaran dan kualiti udang, malah memberi ruang kepada pengusaha menjalankan aktiviti pembungkusan bagi meningkatkan nilai tambah produk.

“Ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengusaha dalam mengurus hasil ternakan serta membantu mereka mendapatkan nilai yang lebih baik daripada produk yang dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini terdapat antara enam hingga lapan pengusaha ternakan udang di Kampung Bintuka, dengan sebahagian daripada mereka mengusahakan sehingga 10 kolam.

Malah, katanya, terdapat pengusaha yang mampu menjana pendapatan melebihi RM2 juta setahun melalui hasil jualan udang, menunjukkan potensi besar industri berkenaan kepada ekonomi setempat.

Ruslan berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada keperluan pengusaha termasuk dari aspek infrastruktur, bekalan elektrik, kemudahan penyimpanan dan sokongan pengeluaran bagi memastikan industri ternakan udang dapat berkembang secara berterusan.

Beliau yakin dengan sokongan dan kemudahan yang lebih baik, industri ternakan udang di Beaufort mampu berkembang sebagai salah satu sektor penting dalam meningkatkan pengeluaran makanan serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar.

Katanya, pembangunan industri itu juga selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor agromakanan Sabah dan meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan bagi memenuhi permintaan pasaran.

RELATED ARTICLES
Utama

Enam kawasan di Sabah catat IPU sederhana

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular