KOTA KINABALU: Pendidikan patriotisme perlu dipupuk sejak usia awal bagi membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai disiplin, jati diri, semangat perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, institusi tadika bukan sekadar menjadi tempat kanak-kanak mempelajari asas membaca, menulis dan mengira, sebaliknya turut memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan karakter mereka.
Beliau berkata, pendidikan pada peringkat awal merupakan asas penting dalam membentuk nilai disiplin, hormat-menghormati, perpaduan, kepimpinan, jati diri serta kecintaan terhadap negara.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Guru dan pengurusan tadika mempunyai peranan besar dalam memastikan nilai-nilai murni serta semangat patriotisme dapat diterapkan secara berterusan dalam diri murid.
“Guru bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu pengetahuan, malah turut bertanggungjawab membentuk sahsiah dan karakter generasi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tunas Patriot Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu di Tadika Lagenda Merpati Elemen, di sini, pada Selasa.
Program berkenaan melibatkan 20 buah tadika terpilih di daerah Kota Kinabalu sebagai usaha memperluaskan pendidikan patriotisme dalam kalangan kanak-kanak sejak di bangku tadika.
Sehubungan itu, beliau berharap Program Tunas Patriot tidak berakhir sebagai satu program semata-mata, sebaliknya elemen patriotisme dapat diteruskan dalam aktiviti harian di tadika.
Antara pendekatan yang boleh diterapkan termasuk memperkenalkan Jalur Gemilang, mengajar murid menghormati lagu Negaraku, menghargai kepelbagaian kaum dan budaya serta membudayakan semangat perpaduan.

“Kita mahu anak-anak ini membesar bukan sahaja sebagai generasi yang bijak, tetapi juga berdisiplin, beradab, saling menghormati dan mempunyai semangat cintakan Malaysia,” katanya.
Beliau turut berharap pelaksanaan Program Tunas Patriot di 20 tadika terpilih itu menjadi permulaan yang baik untuk memperluaskan usaha berkenaan kepada lebih banyak institusi pendidikan pada masa akan datang.



