KOTA KINABALU: Pembangunan Projek Pusat Seni Persembahan Kota Kinabalu (KKPAC) dijangka membuka lebih banyak ruang kepada penggiat seni tempatan, khususnya golongan muda, untuk mengembangkan bakat dan kreativiti dalam bidang seni persembahan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kemudahan yang akan dibangunkan di tapak Wisma Budaya itu bakal menyediakan platform lebih tersusun bagi aktiviti seni dan kebudayaan di negeri ini.
Katanya, KKPAC akan dilengkapi auditorium persembahan, teater kotak hitam, studio tarian, dewan latihan serta pelbagai kemudahan lain yang boleh digunakan bagi penganjuran program seni dan kebudayaan.
“KKPAC akan menjadi hab penting untuk seni persembahan dan program kebudayaan, selain menyediakan ruang khusus bagi memupuk bakat tempatan dan menyokong pertumbuhan industri kreatif.
“Generasi muda juga akan mempunyai ruang khusus untuk berlatih, meneroka kreativiti dan membuat persembahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, kewujudan pusat berkenaan turut dijangka merancakkan penganjuran lebih banyak konsert dan persembahan yang mengetengahkan bakat serta karya anak tempatan.
Jafry berkata, pembangunan KKPAC juga mempunyai potensi memberi manfaat lebih besar kepada ekosistem industri kreatif Sabah dengan menyediakan kemudahan yang dapat digunakan secara berterusan oleh penggiat seni.
Katanya, kemudahan berkenaan pada masa sama boleh membantu Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) memperkukuh operasinya serta menjana pendapatan melalui program kebudayaan, penganjuran acara dan penyewaan kemudahan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan institusi kebudayaan Sabah mempunyai kemudahan yang sesuai dengan keperluan masa depan.
“Matlamat kita bukan sahaja menyediakan infrastruktur, tetapi memastikan kemudahan ini memberi manfaat jangka panjang kepada penggiat seni dan rakyat Sabah,” katanya.
Jafry berkata, pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor kebudayaan dan seni persembahan sebagai sebahagian daripada pembangunan industri kreatif Sabah.
Beliau yakin kemudahan berkenaan mampu menjadi antara platform penting dalam melahirkan lebih ramai bakat tempatan serta meningkatkan peluang untuk karya dan persembahan dari Sabah diketengahkan kepada khalayak lebih luas.



