KOTA KINABALU: Kualiti udara di dua kawasan di Sabah menunjukkan tahap tidak sihat susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), pagi ini.
Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tawau mencatat bacaan IPU 152, manakala Sandakan merekodkan 110 setakat jam 6 pagi pada Jumaat.
Bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, yang menunjukkan kualiti udara di kawasan berkenaan boleh memberi kesan kepada kesihatan, khususnya golongan sensitif.
Dalam pada itu, empat lagi kawasan lain di Sabah masih mencatatkan bacaan lebih rendah iaitu sederhana.
Antaranya adalah di Kota Kinabalu 62; Kimanis 65; Keningau 68 dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK) 62.
Orang ramai, terutama kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung, dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berada di kawasan yang merekodkan bacaan IPU tinggi.
Aktiviti fizikal berat atau aktiviti luar juga wajar dikurangkan sekiranya keadaan kualiti udara bertambah buruk.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai status kualiti udara melalui portal rasmi APIMS JAS sebelum merancang aktiviti luar.
Bacaan IPU adalah dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan cuaca serta faktor pencemaran semasa.



