HomeUtamaKempen Kibarkan Jalur Gemilang, Bendera Sabah semarak semangat patriotik

Kempen Kibarkan Jalur Gemilang, Bendera Sabah semarak semangat patriotik

Read Time:1 Minute, 26 Second

PUTATAN: Kempen mengibarkan bendera Kebangsaan dan bendera negeri Sabah perlu terus dipergiatkan sebagai usaha memupuk semangat cintakan negara, menyemarakkan nilai patriotisme serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, bersempena bulan sambutan Kemerdekaan, Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Sabah yang diraikan sepanjang Ogos, pelbagai inisiatif menyemarakkan jiwa patriotik wajar dilaksanakan secara berterusan, khususnya di peringkat akar umbi.

Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi menanam rasa cinta terhadap negara dan negeri, selain menyemai kesedaran serta rasa tanggungjawab dalam kalangan rakyat untuk menghayati erti kemerdekaan yang telah dikecapi.

“Sudah tentu, kempen mengibarkan bendera ini penting dalam usaha kita meningkatkan nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Dengan kukuhnya perpaduan, rasa cinta kepada negara dapat membangkitkan semangat semua pihak untuk bersatu padu dalam memajukan negara dan negeri kita.

“Malah, bersempena dengan bulan sambutan sebegini, nilai-nilai tersebut secara tidak langsung dapat menyemarakkan jati diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan, Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Komuniti MADANI Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, di sini, pada Rabu.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Shah Awang Sahari; Pengerusi Perkasa Trading Sdn Bhd merangkap ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; serta Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor.

Terdahulu, Shahelmey turut menyertai aktiviti penjelajahan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang melibatkan 25 buah kenderaan dengan penyertaan seramai 63 anggota daripada pelbagai agensi.

Konvoi berkenaan bermula dari Dewan Sri Putatan sebelum bergerak ke Balai Polis Putatan, Kampung Sri Pandan, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Contoh, Balai Raya Kampung Muhibbah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas, Balai Bomba Putatan, SMK Tansau dan Balai Raya Kampung Meruntum.

RELATED ARTICLES
Utama

NDRC UMS perkasa pendidikan pengurangan risiko gempa bumi di Labuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular