KENINGAU: Seramai 338 graduan diraikan sempena Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Ke-20 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Sakaran, IPDAS, di sini.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata kejayaan yang dicapai para graduan merupakan rahmat daripada Allah SWT, selain hasil usaha gigih serta pengorbanan yang tidak mengenal erti putus asa.
Beliau berkata, kejayaan itu bukan sahaja hasil usaha para graduan, malah turut didorong sokongan, pengorbanan dan doa daripada ibu bapa serta keluarga.

“Syabas diucapkan kepada ibu bapa dan keluarga yang telah menjadi tulang belakang, memberikan sokongan, dorongan dan doa yang tidak pernah jemu kepada anak-anak sehingga berjaya sampai ke hari bersejarah ini.
“Pembentukan modal insan berteraskan bidang pengajian Islam merentasi proses penyampaian ilmu kerana pengajian Islam sangat menitikberatkan pembentukan akhlak, nilai insaniah dan jati diri kenegaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Istiadat Konvokesyen IPDAS Ke-20 Tahun 2026 di Dewan Tun Sakaran, IPDAS, di sini.
Menurut Tun Musa, pendekatan berteraskan pembentukan insan itu selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan modal insan sebagai tunjang kemajuan negeri.

Katanya, ia juga seiring dengan gagasan Malaysia MADANI yang menjunjung nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Justeru, saya berharap para graduan dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian untuk terus menyumbang kepada agama, masyarakat dan pembangunan negeri Sabah,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Tun Musa turut menyampaikan Anugerah Pingat Emas kepada salah seorang graduan, Norasmah Abdul Wahid, sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang yang diraihnya.
Istiadat Konvokesyen IPDAS Ke-20 Tahun 2026 itu turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.



