HomeUtamaAustralia lancar mural kenang sejarah bersama

Australia lancar mural kenang sejarah bersama

Read Time:2 Minute, 48 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sebuah mural baharu di tengah bandaraya Kota Kinabalu menjadi simbol persahabatan dan sejarah hubungan rakyat antara Australia dan Malaysia yang terjalin sejak beberapa dekad lalu.

Danielle bersama Dr Sabin, Jared dan tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama di mural Remembering Australia Place selepas majlis pelancaran. – Foto Sabah Media/Alexter Rosalia

Mural Remembering Australia Place itu dilancarkan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia hari ini, sehari sebelum sambutan Hari Sandakan pada 15 Ogos yang memperingati pengorbanan serta sejarah bersama kedua-dua negara ketika Perang Dunia Kedua.

Danielle (tengah) dan Jared (kiri) semasa sidang media.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke, berkata mural berkenaan mengangkat kisah rakyat Australia dan Sabah yang membina hubungan erat menerusi persahabatan, kerjasama dan pertukaran budaya.

“Hubungan ini melangkaui kerjasama rasmi, merangkumi persahabatan individu, pertukaran budaya dan kerjasama masyarakat yang merapatkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Karya seni ini merakam kisah individu yang kehidupannya menghubungkan kedua-dua negara serta menjadi peringatan berkekalan terhadap ikatan kukuh yang terus membentuk perkongsian kita pada hari ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran.

Majlis itu turut dihadiri Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, selain ahli Parlimen, rakan kerjasama tempatan, pemimpin masyarakat dan alumni universiti Australia.

Mural berkenaan terletak di bangunan Wisma Intiutama di tengah Kota Kinabalu, di lokasi yang dikenali secara tidak rasmi sebagai ‘Australia Place’.

Karya berkenaan direka dan dilukis oleh organisasi seni komuniti tempatan, Pillars of Sabah, menggunakan pendekatan penceritaan kreatif bagi mengetengahkan persahabatan, ketabahan, kerjasama dan hubungan rakyat sebagai asas hubungan Australia-Malaysia.

Mural itu turut mengetengahkan kisah peribadi pengasas bersama Pillars of Sabah, Jared Abdul Rahman, yang merupakan anak kepada lelaki dari Sabah yang bertemu ibunya dari Tasmania ketika melanjutkan pengajian di Australia menerusi Rancangan Colombo.

Abdul Rahman berkata, latar belakangnya sebagai rakyat Malaysia dan Australia menjadikan karya itu amat bermakna kerana meraikan kedua-dua sisi warisan budayanya.

“Melalui karya ini, amat bermakna apabila dapat menghimpunkan pelbagai generasi masyarakat Kota Kinabalu, khususnya pelajar dan guru dari SMK Sanzac, untuk menghayati sejarah perkongsian yang membanggakan antara kita dengan Australia,” katanya.

Sementara itu, Heinecke dijadual mengunjungi Taman Memorial Sandakan esok bagi menyertai keluarga veteran, pemimpin masyarakat, wakil kerajaan dan orang awam sempena sambutan Hari Sandakan.

Hari Sandakan memperingati keberanian, pengorbanan, penderitaan dan kehilangan 2,434 tawanan perang yang terkorban dalam Perarakan Maut Sandakan ketika Perang Dunia Kedua.

Ia turut mengenang pengorbanan rakyat Sabah, termasuk mereka yang mempertaruhkan nyawa bagi membantu tawanan perang dan menyokong usaha melarikan diri.

Heinecke berkata, tragedi Sandakan menjadi peringatan terhadap kepentingan memelihara keamanan serantau serta memperkukuh perkongsian yang terbina daripada sejarah bersama.

“Selama beberapa generasi, Australia dan Malaysia berdiri serta berjuang bersama. Dengan mengenang masa lalu dan menghargai hubungan antara rakyat kita, kita terus membina perkongsian yang lebih kukuh bersama.

“Australia kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan di Malaysia dalam memelihara sejarah Sandakan dan memastikan generasi akan datang memahami pengajaran daripada peperangan serta kepentingan keamanan,” katanya.

Australia dan Malaysia mempunyai hubungan lama menerusi kerjasama pertahanan, pendidikan, perdagangan, pelaburan, pelancongan, pertukaran budaya serta hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara.

Hubungan itu terus berkembang daripada sejarah perang bersama kepada kerjasama dalam pelbagai bidang berasaskan rasa saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama.

Suruhanjaya Tinggi Australia turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Sandakan, rakan komuniti, artis, keluarga veteran serta semua pihak yang menyumbang kepada usaha memperingati sejarah bersama dan persahabatan Australia-Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

27 Pengawal Hospital Likas Bawa Pertikaian Kerja Ke JTK Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular