KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah mempergiatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negeri dengan 164 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam tempoh tiga hari.
Sebanyak 10 operasi dilaksanakan secara serentak di pelbagai lokasi strategik di seluruh daerah bermula 11 hingga 13 Ogos, membabitkan pemeriksaan terhadap 575 individu.
Daripada 164 PATI yang ditahan, 114 adalah warga Filipina terdiri daripada 58 lelaki dewasa, 36 wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan 48 warga Indonesia membabitkan 22 lelaki dewasa, 16 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, selain dua lelaki warga Pakistan.
Menurut JIM Sabah, operasi berkenaan dipergiatkan dalam usaha membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Jabatan itu berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Orang ramai turut diminta melaporkan kegiatan PATI menerusi saluran rasmi JIM Sabah.



