KOTA KINABALU : Pasukan bola sepak wanita Sabah bertekad bangkit dan mencatat keputusan positif apabila berdepan Wilayah Persekutuan dalam aksi penting Kumpulan A Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Stadium Selayang, malam ini.
Perlawanan yang dijadual berlangsung jam 8.30 malam itu menjadi penentuan penting buat Sabah dalam usaha menghidupkan peluang untuk mara ke separuh akhir selepas tewas 2-1 kepada tuan rumah Selangor dalam aksi pembukaan, Khamis lalu.
Pengurus pasukan, Djoehan Darno berkata, kekalahan kepada Selangor tidak mematahkan semangat pemain, malah menyuntik keazaman untuk mendapatkan keputusan lebih baik dalam perlawanan menentang Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, pemain kini lebih bersemangat dan bersedia untuk memberikan aksi terbaik bagi memastikan sasaran pasukan untuk mara ke separuh akhir dapat direalisasikan.
“Pemain begitu bersemangat untuk memburu kemenangan. Mereka menyatakan perkara itu dengan jelas selepas perlawanan menentang Selangor.
“Mereka kelihatan gementar dalam perlawanan pembukaan yang disifatkan ramai sebagai perlawanan akhir sebelum penentuan kejuaraan sebenar.
“Walaupun Selangor mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri dengan sokongan penyokong, kami masih mengawal sebahagian besar permainan. Cuma kami gagal menambah jaringan daripada peluang yang dicipta,” katanya.
Djoehan berkata, barisan pemain sudah berjanji untuk bangkit lebih kuat dalam perlawanan penting menentang Wilayah Persekutuan.
Beliau yakin pengalaman berdepan Selangor dapat menjadi pengajaran berguna kepada pemain untuk tampil lebih tenang, yakin dan berdisiplin dalam aksi seterusnya.
Katanya, Sabah perlu memanfaatkan setiap peluang yang dicipta serta mengelak daripada melakukan kesilapan mudah jika mahu mendapatkan keputusan yang diharapkan.
Dalam masa sama, Djoehan menegaskan sasaran Sabah untuk memburu pingat emas masih kekal walaupun kempen dimulakan dengan kekalahan.
“Kami tahu Selangor adalah pasukan yang sangat kuat berdasarkan pertemuan dalam Liga Wanita Kebangsaan dan pasukan SUKMA mereka juga sama kuat. Mereka sememangnya pencabar terkuat kami.
“Bagaimanapun, kami akan memberikan yang terbaik untuk mara ke final dan mendapatkan satu lagi peluang memburu pingat emas,” katanya.
Sabah sebelum ini turut berdepan Selangor pada final SUKMA 2024 di Kuching, namun tewas 3-1.
Kini, fokus skuad wanita negeri itu beralih kepada Wilayah Persekutuan dengan kemenangan menjadi sasaran utama bagi memastikan kempen mereka terus bernyawa.



