HomeUtamaLebih 500 penduduk Kalabakan sertai Karnival Internet Selamat - MCMC

Lebih 500 penduduk Kalabakan sertai Karnival Internet Selamat – MCMC

Read Time:1 Minute, 34 Second

KALABAKAN: Lebih 500 penduduk dari Kalabakan dan kawasan sekitarnya menyertai Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat (KIS) Daerah Kalabakan edisi Bulan Kebangsaan di FELDA Umas, hari ini.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataannya hari ini, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan Internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Bersempena Bulan Kebangsaan, mesej keselamatan Internet disampaikan menerusi pendekatan mesra komuniti dengan menggabungkan elemen patriotisme melalui Merdeka Fun Run, Pertandingan Busana Citra Malaysia dan Sukaneka Rakyat.

Pendekatan itu menjadikan advokasi keselamatan digital lebih dekat, mudah difahami dan relevan kepada masyarakat setempat.

Karnival berkenaan disempurnakan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KIS yang sejak dilancarkan pada Januari 2025 telah menjangkau lebih 148,300 peserta di seluruh Sabah menerusi pelbagai program advokasi dan pendidikan digital.

Kesedaran mengenai penipuan dalam talian turut menjadi antara fokus utama karnival menerusi perkongsian Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan taktik penipuan kewangan, ancaman penyamaran identiti serta langkah perlindungan diri.

Pengetahuan itu penting bagi membantu masyarakat mengenal pasti risiko lebih awal dan mengelakkan kerugian kewangan yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu serta keluarga.

Pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Tabung Haji dan Sains Xplor turut menyediakan maklumat, khidmat nasihat serta perkhidmatan berkaitan keselamatan digital, perlindungan kewangan, pendidikan dan kesejahteraan sosial kepada komuniti setempat.

Pelaksanaan KIS di Kalabakan mencerminkan usaha MCMC memperluas advokasi keselamatan digital hingga ke peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar dan lokasi yang jauh dari pusat bandar utama.

Dalam era ekonomi digital, keselamatan Internet bukan lagi sekadar isu teknologi, malah berkait rapat dengan keupayaan masyarakat melindungi maklumat peribadi, simpanan dan kesejahteraan keluarga daripada ancaman jenayah siber.

Usaha berterusan itu penting bagi memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menggunakan teknologi secara selamat, yakin dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

KDM bukan parti komponen GRS – Armizan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular