KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tegas Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.
Katanya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada November lalu, KDM melalui ADUN tunggalnya memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Keputusan tersebut menjadikan KDM sebahagian daripada Kerajaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Armizan berkata, susulan pengumuman Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter mengenai menarik sokongan terhadap kerajaan GRS hari ini, beliau berkesempatan menghubungi ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman, yang juga ADUN tunggal KDM.
Menurut Armizan, Rusdin memaklumkan komitmennya adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya selain memastikan kestabilan kerajaan negeri bagi meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.
“Beliau juga turut bersama dalam satu acara yang melibatkan ADUN-ADUN kerajaan pagi tadi di Kota Kinabalu,” katanya.



