KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Pakistan didenda keseluruhan RM4,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memasuki Sabah tanpa pas yang sah dan melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Akhtar Muhammad, 27, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, Akhtar dikenakan denda RM4,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda kerana didadapati memasuki Sabah secara haram.
Dia didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor bersebelahan kedai runcit di Kampung Inanam Laut, Inanam, kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dibaca bersama Seksyen 64(4)(a) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Akhtar dikenakan denda RM500 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda kerana melanggar syarat PLKS yang hanya membenarkannya berada di Semenanjung Malaysia.
Kesalahan itu dilakukan tanpa sebab yang munasabah di lokasi dan pada masa yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk semula kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan selanjutnya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Kamrul Md Yusof.



