HomeUtamaGangguan bekalan air boleh jejas kepuasan pelancong - Chan

Gangguan bekalan air boleh jejas kepuasan pelancong – Chan

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan air yang berlarutan berpotensi menjejaskan pengalaman pelancong dan memberi kesan kepada imej sesuatu destinasi pelancongan sekiranya tidak ditangani dengan berkesan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, kemudahan asas seperti bekalan air yang stabil merupakan antara faktor penting dalam memastikan pelancong menikmati pengalaman yang selesa sepanjang berada di sesuatu destinasi.

Menurut beliau, industri pelancongan tidak boleh dilihat secara berasingan kerana kejayaannya turut dipengaruhi oleh pelbagai sektor lain termasuk utiliti, infrastruktur dan perkhidmatan awam.

“Jika pelancong datang ke sini dan mereka mengadu sering berlaku gangguan bekalan air, maka ia menjadi isu yang melibatkan pihak berkaitan seperti Jabatan Air Negeri Sabah dan agensi-agensi berkaitan.

“Perkara seperti ini memberi kesan kepada pengalaman pelancong dan boleh menjejaskan persepsi mereka terhadap destinasi yang dilawati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Star Carnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) 2026 di sini pada Sabtu.

Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, pelancong masa kini bukan sahaja mencari destinasi yang mempunyai tarikan menarik, tetapi juga mengharapkan kemudahan asas yang berkualiti dan perkhidmatan yang lancar.

Katanya, sebarang gangguan terhadap kemudahan asas seperti bekalan air boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada pelawat, khususnya mereka yang menginap di hotel, inap desa dan penginapan pelancongan lain.

“Apabila pelancong berdepan masalah asas seperti bekalan air, ia bukan sahaja memberi kesan kepada mereka tetapi turut memberi implikasi kepada pengusaha pelancongan yang bergantung kepada kepuasan pelanggan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat banyak pihak berkepentingan yang memainkan peranan dalam memastikan industri pelancongan terus berkembang dan kekal berdaya saing.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan melibatkan seluruh kerajaan atau whole-of-government perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap agensi berkaitan dapat bekerjasama menangani isu-isu yang memberi kesan kepada sektor pelancongan.

Menurutnya, usaha memperkukuh infrastruktur asas dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam perlu diberi perhatian bagi menyokong aspirasi negara untuk terus menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

“Industri pelancongan akan menjadi lebih kukuh apabila semua sektor dapat berfungsi dengan baik dan saling melengkapi dalam memberikan pengalaman terbaik kepada pelawat,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian terhadap isu kemudahan asas seperti bekalan air adalah antara elemen penting dalam memastikan Sabah dan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Jerebu: Tujuh titik hotspot dikesan setakat ini – JAS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular