KUALA LUMPUR — Kontroversi yang dikaitkan dengan “mafia korporat” serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah, kata perwakilan DAP Wilayah Persekutuan Sangeet Kaur Deo.
Beliau berkata DAP tidak boleh terus berdiam diri ketika pengundi mula mempersoalkan pendirian parti terhadap isu berkenaan.
Menurutnya, pemimpin DAP dalam Kabinet telah membangkitkan perkara itu secara dalaman. Namun, penjelasan secara tertutup tidak mencukupi apabila rakyat menuntut pendirian yang jelas daripada parti.
“Apabila skandal ‘mafia korporat’ menjadi berita, pemimpin kita dalam Kabinet bertanya kepada diri mereka sendiri, ‘Bagaimanakah kita hendak mempertahankan perkara ini?’
“Ia tidak boleh dipertahankan,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Parti DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini
Beliau berkata kontroversi berkenaan menyebabkan pengundi mempersoalkan mengapa DAP tidak bersuara dengan lebih lantang meskipun mempunyai wakil dalam Kabinet.
Menurutnya, DAP terlalu banyak berdiam diri dalam isu penting kerana tidak mahu menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
“Apakah yang dikatakan pengundi? ‘Di manakah DAP? Di manakah suara kamu? Mengapa kamu berdiam diri?’
“Dalam terlalu banyak isu, kita berdiam diri kerana tidak mahu menggoncang kerajaan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa keinginan untuk mempertahankan kerajaan tidak sepatutnya menyebabkan DAP mengabaikan prinsip perjuangannya, khususnya dalam isu integriti, ketelusan dan rasuah.
Selain isu “mafia korporat”, Sangeet yang merupakan anak bekas pemimpin DAP, mendiang Karpal Singh itu turut membangkitkan kontroversi berkaitan SPRM yang didakwanya menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
Katanya, kerajaan memperoleh mandat dengan membawa janji untuk membanteras rasuah, tetapi masih berdepan pelbagai persoalan mengenai keberkesanan usaha tersebut.
“Kita mendapat kuasa atas dasar bahawa kita akan menghapuskan rasuah. Adakah kita sudah melakukannya? Kita belum melakukannya.
“Kita kini berdepan skandal yang berkaitan dengan institusi kita, termasuk SPRM,” katanya.
Sangget turut menyentuh keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, daripada 47 pertuduhan sebagai antara perkembangan yang mencetuskan persoalan terhadap agenda antirasuah kerajaan.
Katanya, DAP perlu mencari semula suaranya dan menyatakan pendirian secara terbuka ketika masih berada dalam kerajaan.
“Kita mempunyai pemimpin DAP dalam Kabinet dan saya boleh memberi jaminan bahawa mereka telah membangkitkan isu-isu ini secara dalaman,” katanya.
Walaupun melontarkan kritikan keras, beliau berpendapat DAP perlu kekal dalam kerajaan buat sementara waktu.
Namun, katanya, keputusan tersebut bukan semata-mata untuk mengelakkan kerajaan tumbang sebelum pilihan raya umum akan datang.
Sebaliknya, DAP memerlukan tempoh yang masih ada untuk membina semula kepercayaan rakyat, memulihkan kredibiliti parti dan menunjukkan bahawa parti itu masih berani menyuarakan isu berkepentingan awam.
“Kita harus kekal kerana DAP memerlukan beberapa bulan ini untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan terhadap parti,” katanya.
Beliau mahu DAP menggunakan tempoh 18 bulan akan datang untuk memperkukuh parti dan bersuara lebih tegas dalam isu “mafia korporat”, SPRM, rasuah serta integriti institusi negara.
“Kekal dalam kerajaan, cari semula suara kita dan bersuaralah ketika kita masih berada di dalamnya.
“Jika kita terpaksa menjadi pembangkang semula, sekurang-kurangnya kita sudah meletakkan asas dan mendapatkan kembali kredibiliti,” katanya.
Menurutnya, DAP perlu terus berada dalam kerajaan buat masa ini, tetapi mesti menggunakan kedudukan itu untuk menuntut pertanggungjawaban dan memulihkan keyakinan pengundi terhadap perjuangan antirasuah parti.



