KOTA KINABALU: Dakwaan peruntukan RM945,000 bagi penganjuran malam sambutan ulang tahun Yayasan Sabah (YS) yang tular di media sosial belum mendapat kelulusan pihak pengurusan.
Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya, berkata setakat pengetahuannya, tiada proposal atau permohonan bajet bagi tujuan berkenaan dikemukakan kepada pihak pengurusan yang mempunyai kuasa meluluskan peruntukan.
“Pihak Jawatankuasa Penganjur boleh mencadang dan memohon, tetapi tidak semestinya diluluskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, setiap permohonan peruntukan dalam jumlah besar lazimnya akan diteliti semula dan jumlah yang dicadangkan boleh dikurangkan mengikut keperluan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara berhemah serta mengelakkan pembaziran.
Jasnih turut memberi jaminan bahawa Yayasan Sabah mempunyai mekanisme bagi mengawal perbelanjaan berlebihan.
“Keutamaan kami ialah rakyat Sabah. Insya-Allah,” katanya.
Beliau turut menghargai pihak yang membangkitkan isu berkenaan sebagai peringatan untuk memastikan urusan perbelanjaan sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
Hantaran itu dibuat susulan dakwaan yang tular di media sosial berhubung kononnya sejumlah RM945,000 diperuntukkan bagi sambutan malam ulang tahun Yayasan Sabah.



