HomeSukanSUKMA XXII : Hatrik Ara Tasyah bantu Sabah tewaskan Kelantan 5-1

SUKMA XXII : Hatrik Ara Tasyah bantu Sabah tewaskan Kelantan 5-1

Read Time:1 Minute, 21 Second

SHAH ALAM : Pasukan futsal wanita Sabah kembali berada di landasan kemenangan apabila membelasah Kelantan 5-1 dalam aksi Kumpulan B pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, hari ini.

Kemenangan meyakinkan itu menyaksikan Sabah mempamerkan aksi lebih tersusun berbanding perlawanan sebelumnya, dengan para pemain menunjukkan semangat juang tinggi serta disiplin bertahan yang lebih baik sepanjang perlawanan.

Sabah membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Ara Tasyah sebelum pemain sama menggandakan kelebihan pada minit ke-15 untuk meletakkan Sabah di hadapan 2-0.

Kelantan cuba merapatkan kedudukan menerusi jaringan Viena pada minit ke-16, namun Sabah tidak menoleh ke belakang apabila Flavia Bane menambah gol ketiga pada minit ke-20.

Ara Tasyah sekali lagi mencuri tumpuan apabila melengkapkan hatrik pada minit ke-24 sebelum Nurulain mengesahkan kemenangan besar Sabah dengan gol kelima pada minit ke-28.

Ketua Jurulatih Sabah, Rosmadih Wasli, bersyukur dengan peningkatan yang ditunjukkan anak buahnya selepas perlawanan terdahulu.

“Alhamdulillah, ada perubahan daripada perlawanan kelmarin. Kami berjaya mengurangkan kesilapan ketika bertahan dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain berjaya menghasilkan kemenangan dengan jaringan 5-1,” katanya.

Beliau berkata kemenangan itu memberi suntikan moral penting kepada pasukan menjelang aksi seterusnya menentang Wilayah Persekutuan esok pagi.

Menurutnya, Sabah kini berada pada kedudukan terbaik untuk memburu tempat ke separuh akhir dan kemenangan ke atas Wilayah Persekutuan akan memastikan slot ke kelompok empat pasukan terbaik kejohanan.

“Esok kami akan bertemu Wilayah Persekutuan. Jika menang, kami akan layak ke separuh akhir,” katanya.

Kemenangan ke atas Kelantan bukan sahaja menghidupkan peluang Sabah untuk mara lebih jauh dalam kejohanan, malah membuktikan kemampuan pasukan untuk bangkit selepas menghadapi cabaran pada aksi terdahulu. – SABAH MEDIA / FOTO MSN SABAH

RELATED ARTICLES
Sukan

AWCL : Sabah FA sedia hadapi cabaran tiga pasukan terbaik Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular