KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan insentif sebanyak RM2.3 juta kepada atlet dan persatuan sukan di negeri ini sebagai penghargaan atas pencapaian mereka mengharumkan nama Sabah dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA di Selangor baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemberian insentif itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada atlet dan persatuan sukan untuk terus bekerja keras meningkatkan prestasi masing-masing.
Katanya, insentif berkenaan juga mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen atlet yang berjuang membawa nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Ini adalah sebagai penghargaan daripada kerajaan dan mudah-mudahan ia menjadi suntikan semangat kepada persatuan-persatuan untuk lebih bekerja keras, fokus kepada latihan yang berterusan dan berusaha memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Temasya SUKMA dan Parasukma XXII Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.
Dalam majlis sama, kementerian turut menyumbangkan RM30,000 kepada kontinjen olahraga Sabah susulan kejayaan mereka muncul juara keseluruhan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi tiga tahun berturut-turut.
Nizam berkata, kejayaan atlet Sabah tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pingat yang dimenangi semata-mata, sebaliknya usaha membangunkan prestasi atlet perlu diteruskan secara konsisten selepas sesuatu temasya berakhir.
Menurutnya, Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) perlu memastikan atlet yang menunjukkan potensi terus diberikan program pembangunan dan latihan yang bersesuaian.

“Kita berharap MSNS sebagai badan yang bertanggungjawab memantau pencapaian atlet terus mengadakan program yang dapat memastikan prestasi mereka ditingkatkan.
“Bukan sahaja berjaya di peringkat kebangsaan, tetapi boleh mencipta nama di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam berkata, pencapaian Sabah pada Sukma 2026 menunjukkan peningkatan apabila kontinjen negeri berjaya meraih 30 pingat emas, berbanding 29 emas pada SUKMA Sarawak 2024.
Katanya, pencapaian itu membuktikan atlet Sabah mempunyai kemampuan untuk mencatat keputusan lebih baik sekiranya diberikan latihan, bimbingan dan sokongan secara berterusan.
Beliau berkata, sasaran meraih 40 pingat emas pada SUKMA 2028 yang ditetapkan sejak 2016 kekal menjadi cabaran kepada pengurusan sukan negeri.
“Kita sebenarnya boleh capai sasaran 40 emas ini, tetapi ada jenis-jenis sukan yang sepatutnya mendapat emas, namun apabila tiba di peringkat final mereka gagal mendapat emas dan memperoleh pingat perak.
“Namun, saya menghargai kesungguhan mereka,” katanya.
Nizam berkata, fokus kini perlu diberikan kepada usaha memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti bagi memastikan sasaran peningkatan pencapaian pada SUKMA akan datang dapat direalisasikan.
Pada masa sama, beliau menegaskan sokongan ibu bapa, jurulatih dan persatuan sukan amat penting dalam memastikan bakat atlet Sabah terus dibangunkan.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai aspirasi untuk menjadikan Sabah sebagai ‘Sports State’, bukan sahaja melalui usaha melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah dengan menyediakan fasiliti dan kemudahan sukan yang lengkap.
“Kita mahu mencipta atlet juara, mencipta juara. Hasrat kita adalah untuk menjadikan Sabah ini sebagai ‘Sports State’, negeri sukan yang dapat melahirkan atlet-atlet berprestasi tinggi,” katanya.
Beliau berkata, dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, Sabah juga berpotensi menjadi tuan rumah kepada acara sukan bertaraf antarabangsa pada masa akan datang. – SABAH MEDIA



