HomeUtamaBekas pengarah hospital Sabah lapor polis dakwa maklumat sulit bocor

Bekas pengarah hospital Sabah lapor polis dakwa maklumat sulit bocor

Read Time:2 Minute, 38 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang bekas pengarah hospital di Sabah membuat laporan polis bagi meminta siasatan berhubung dakwaan maklumat sulit berkaitan tuduhan gangguan seksual terhadapnya dibocorkan kepada media dan media sosial.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Luyang di sini  hari ini menerusi peguam Joan Goh dan Datuk Ram Singh yang mewakili pegawai perubatan kanan berkenaan.

Dalam laporan polis itu, mereka berkata, anak guam mereka yang sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama kira-kira 30 tahun dan pernah menjadi pengarah hospital, bimbang butiran mengenai tuduhan terhadapnya telah didedahkan kepada umum walaupun belum ada keputusan muktamad dibuat oleh mana-mana mahkamah, Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) atau badan tatatertib.

Joan berkata, laporan polis berhubung tuduhan berkenaan pernah dibuat terhadap anak guamnya sebelum mereka kemudiannya dimaklumkan bahawa siasatan diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

“Aduan berasingan juga telah dibuat di Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) dan didengar pada 23 dan 24 Julai tahun ini tetapi sehingga kini masih belum diputuskan.

“Setakat tarikh laporan polis anak guam kami dibuat, tiada mahkamah, TAGS atau badan tatatertib yang telah membuat apa-apa dapatan bahawa anak guam kami telah melakukan gangguan seksual,” katanya.

Bagaimanapun, Joan berkata, pada 15 dan 16 Ogos, perkara itu dilaporkan secara meluas oleh media selain menerusi hantaran di media sosial yang merujuk kepada seorang pengarah hospital di Sabah yang didakwa terlibat dalam gangguan seksual, pertukarannya kepada jawatan pegawai perubatan biasa, siasatan dalaman serta laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Katanya, laporan berkenaan turut memetik mangsa yang didakwa terbabit telah diberikan sokongan dan rawatan psikologi serta kembali bertugas dalam persekitaran kerja yang lebih baik.

“Penggunaan perkataan “mangsa” memberi gambaran seolah-olah telah terdapat suatu dapatan bahawa gangguan seksual benar-benar berlaku sedangkan proses TAGS masih belum diputuskan.

“Walaupun nama anak guam kami tidak dinyatakan, butiran mengenai jawatan, hospital, pertukaran dan dakwaan tersebut menyebabkan anak guam kami boleh dikenal pasti oleh kakitangan hospital, rakan sekerja dan pihak-pihak yang mengetahui perkara tersebut.

“Perkara yang sama turut disebarkan melalui beberapa penerbitan di Facebook,” katanya sambil menambah tangkap layar dan pautan berkaitan akan diserahkan kepada pihak polis.

Menurutnya, anak guam mereka turut bimbang bagaimana maklumat dalaman mengenai dakwaan terhadapnya, siasatan dalaman dan tindakan pentadbiran telah sampai kepada pihak media, ahli politik dan media sosial sebelum proses berkaitan dimuktamadkan.

Joan berkata mereka memohon pihak polis menyiasat siapakah yang telah mendedahkan dan/atau menyampaikan maklumat tersebut kepada pihak luar, sama ada apa-apa maklumat, dokumen atau komunikasi rasmi kerajaan telah didedahkan tanpa kebenaran, dan sama ada terdapat mana-mana pihak yang bertindak secara bersama atau berkoordinasi untuk menyebarkan perkara tersebut bagi menjejaskan nama baik, reputasi, jawatan dan kerjaya anak guam mereka.

“Kami juga memohon pihak polis, sekiranya perlu, mendapatkan dan memelihara rekod komunikasi yang berkaitan termasuk WhatsApp, e-mel, rekod telefon dan maklumat akaun media sosial bagi mengenal pasti sumber dan pihak yang bertanggungjawab terhadap penyebaran tersebut,” katanya.

Joan berkata, pasukan guaman turut menerima arahan untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu termasuk mencabar keputusan pentadbiran tersebut melalui prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengarah berkenaan telah ditukarkan sebagai pegawai perubatan biasa di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah sementara menunggu tindakan selanjutnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Cadang RUU Entiti Milik Kerajaan Perkukuh Tatakelola Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular