KOTA KINABALU: Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWan) terus memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan modal insan wanita sebagai barisan pemimpin masa depan yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah yang lebih mampan dan progresif.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, penubuhan AKWan membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform pembangunan kepimpinan wanita yang sistematik, inklusif dan berimpak tinggi.
Menurut beliau, AKWan merupakan komitmen Kerajaan Negeri melalui Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) untuk melahirkan generasi pelapis pemimpin wanita yang berilmu, berintegriti serta berdaya saing dalam pelbagai bidang.
“AKWan bukan sahaja memberi pengetahuan, malah membentuk jati diri, keyakinan, nilai kepimpinan dan kemampuan membuat keputusan secara berkesan.

“Pembangunan negeri tidak akan mencapai potensi sepenuhnya tanpa penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan.
“Wanita hari ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan institusi kekeluargaan, malah telah membuktikan keupayaan sebagai pemimpin organisasi, usahawan, profesional, pentadbir, ahli akademik dan pemimpin masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Zainal pada Majlis Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita Sabah Ketiga Tahun 2025, di sini.
Julita berkata, AKWan memberi fokus kepada empat kategori kepimpinan utama iaitu Pemimpin Akar Umbi, Pemimpin Muda, Pemimpin Politik dan Pemimpin Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Katanya, sejak diperkenalkan, program itu telah berjaya melibatkan seramai 272 peserta bagi Tahap Asas, 123 peserta Tahap Pertengahan dan 84 peserta Tahap Lanjutan.
“Pencapaian ini menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan serta keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan AKWan sebagai institusi pembangunan kepimpinan wanita di Sabah.
“Para peserta turut didedahkan dengan pelbagai modul yang relevan seperti perspektif gender dalam kepimpinan, pembangunan kendiri, integriti, komunikasi berkesan, kepimpinan organisasi, pemikiran kritis, pengurusan konflik dan pembinaan jaringan strategik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap para graduan tidak berhenti setakat menerima sijil, sebaliknya memanfaatkan ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh untuk memimpin organisasi, menyumbang kepada pembangunan komuniti serta menjadi agen perubahan dalam bidang masing-masing.
“Negeri Sabah memerlukan lebih ramai wanita yang berani tampil ke hadapan, membawa idea baharu dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Majlis graduasi itu turut menyaksikan seramai 75 graduan menerima sijil masing-masing sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan menamatkan Kursus Kepimpinan Wanita Sabah.



