HomeUtamaPegawai Daerah perlu berani ambil pendekatan baharu

Pegawai Daerah perlu berani ambil pendekatan baharu

Read Time:3 Minute, 27 Second

KENINGAU: Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil perlu sentiasa mengamalkan budaya kerja yang responsif, proaktif dan berintegriti, selain berani mengambil pendekatan baharu dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pendekatan baharu perlu diterokai sekiranya mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran dan memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.

Namun katanya, setiap tindakan mestilah berpandukan peraturan, tatakelola serta kepentingan awam.

“Kita perlu berani mengambil pendekatan baharu sekiranya pendekatan tersebut dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Namun, pada masa yang sama, setiap tindakan hendaklah dibuat berdasarkan peraturan, tatakelola dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Sabah Kali Ke-29 bertemakan ‘Memacu Inovasi, Memperkasa Komuniti’ di Hotel Perkasa, di sini, pada Isnin.

Hajiji berkata, tema persidangan berkenaan amat bertepatan dengan keperluan pentadbiran awam pada masa kini yang berdepan perubahan pantas akibat kemajuan teknologi, perubahan ekonomi global serta perubahan sosial.

Katanya, peningkatan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam turut menuntut jentera kerajaan supaya sentiasa memperbaiki kaedah dan budaya kerja.

“Kita berhadapan dengan perubahan yang begitu pantas. Kemajuan teknologi, perubahan ekonomi global, perubahan sosial serta peningkatan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam menuntut kita supaya terus memperbaiki cara kita bekerja.

“Pentadbiran kerajaan perlu lebih cekap, responsif dan berpaksikan kepada keperluan rakyat,” katanya.

Dalam konteks itu, Hajiji berkata Pejabat Daerah merupakan antara institusi penting dalam jentera Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi kerana kedudukannya yang paling hampir dengan rakyat.

Katanya, Pegawai Daerah mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan dasar, program dan projek kerajaan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan di lapangan.

“Tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja berperanan dalam menyelaras pembangunan daerah, tetapi turut menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri kini meneruskan agenda pembangunan Sabah menerusi Sabah Maju Jaya 2.0, yang merupakan kesinambungan kepada asas pembangunan yang telah dibina sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan agenda berkenaan bukan hanya bergantung kepada perancangan di peringkat Kerajaan Negeri, sebaliknya turut bergantung kepada keupayaan seluruh jentera kerajaan untuk melaksanakannya dengan berkesan.

“Pejabat Daerah merupakan antara institusi kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Oleh itu, peranan saudara dan saudari dalam memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat adalah sangat besar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan negeri perlu dilihat dalam perspektif jangka panjang, khususnya selepas Sabah melalui pelbagai cabaran dalam tempoh lima tahun lalu, termasuk kesan pandemik dan ketidaktentuan ekonomi.

Katanya, pembangunan yang telah dilaksanakan perlu diteruskan dan diperkukuh bagi memastikan asas ekonomi negeri terus berkembang.

“Apa yang telah dibina perlu diteruskan dan diperkukuhkan.

“Sebab itu, kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran amat penting. Pembangunan tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Ia memerlukan perancangan yang konsisten, dasar yang jelas dan jentera kerajaan yang mampu melaksanakan perancangan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji mahu seluruh jentera kerajaan termasuk Pejabat Daerah memahami dengan jelas hala tuju pembangunan negeri supaya setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita mempunyai perancangan. Kita mempunyai peruntukan. Kita mempunyai projek-projek yang telah dikenal pasti. Dan kita mempunyai jentera kerajaan di semua peringkat.

“Apa yang diperlukan ialah penyelarasan, disiplin pelaksanaan dan komitmen untuk memastikan semua perancangan tersebut menghasilkan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut mengarahkan Pegawai Daerah supaya memberi perhatian serius terhadap keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta tidak menunggu sesuatu masalah menjadi lebih besar sebelum mengambil tindakan.

Katanya, isu yang timbul perlu ditangani lebih awal, manakala penyelarasan dengan agensi berkaitan hendaklah dilakukan segera bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

“Jika terdapat isu, ambil tindakan lebih awal. Jika memerlukan penyelarasan dengan agensi lain, lakukan segera. Jika terdapat potensi yang boleh dibangunkan, bantu memudahkannya.

“Pendekatan seperti ini perlu menjadi budaya kerja dalam pentadbiran daerah,” katanya.

Hajiji pada masa sama mengingatkan bahawa kelewatan pelaksanaan projek tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa kerana setiap kelewatan boleh memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

“Jika terdapat masalah dalam pelaksanaan, kita perlu bertindak lebih awal. Jika terdapat isu penyelarasan, kita perlu duduk bersama dan mencari penyelesaian.

“Matlamat kita adalah memastikan setiap projek yang dirancang dapat memberikan manfaat kepada rakyat dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata komitmen, kecekapan dan keupayaan jentera pentadbiran daerah untuk bertindak secara proaktif amat penting bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara berkesan dan mencapai matlamat yang ditetapkan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

RM1.57 bilion untuk 53 projek kesihatan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular