Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM1.57 bilion bagi pelaksanaan 53 projek pembangunan kesihatan di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan itu melibatkan 46 projek sambungan dan tujuh projek baharu yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah melalui peningkatan kemudahan serta akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti.
Menurut beliau, antara projek baharu yang mendapat perhatian utama ialah pembinaan Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta serta Klinik Kesihatan Jenis 5 Sapulut, Nabawan berserta kuarters dengan kos RM81.95 juta.
“Bagi mengimbangi keperluan rakyat Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merangka perancangan strategik yang merangkumi pembangunan fasiliti kesihatan berimpak tinggi, pemerkasaan perjawatan dan sumber manusia serta lonjakan peruntukan kewangan.
“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan besar sebanyak RM1.57 bilion di bawah RMK13 RP1 yang melibatkan 53 projek pembangunan kesihatan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 di sini pada Isnin.
Hadir sama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, Pusat Jantung Sabah akan menjadi antara projek paling penting dalam pembangunan sektor kesihatan negeri kerana ia bakal meningkatkan kapasiti rawatan penyakit jantung serta mengurangkan kebergantungan pesakit Sabah mendapatkan rawatan di Semenanjung.
Katanya, projek berkenaan kini berada dalam fasa awal pelaksanaan termasuk proses ujian bahan yang dijangka selesai pada Ogos 2026 sebelum diteruskan dengan pelaksanaan Makmal Kejuruteraan Nilai pada suku pertama 2027.
“Pusat Jantung Sabah ini merupakan keutamaan KKM dan antara projek yang diberikan perhatian khusus oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sekiranya semua proses berjalan lancar, pembinaannya dijangka bermula pada suku ketiga 2027 dan beroperasi sepenuhnya menjelang suku keempat 2029,” katanya.
Selain pembangunan infrastruktur, beliau turut mengumumkan bahawa sebanyak 607 jawatan baharu berjaya diwujudkan di Sabah setakat 1 Ogos 2026.
Katanya, daripada jumlah itu, 355 jawatan melibatkan kumpulan pengurusan dan profesional termasuk 77 jawatan pakar serta 203 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi, manakala 252 lagi jawatan melibatkan kumpulan pelaksana.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan operasi fasiliti kesihatan di Sabah dapat berfungsi secara optimum dan memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.
Pada masa sama, Dzulkefly berkata, kementeriannya turut menetapkan sasaran peningkatan peruntukan tahunan sebanyak lima peratus kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang dijangka mampu meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM4 bilion menjelang tahun 2030.
“Ini adalah komitmen berterusan KKM untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya. – SABAH MEDIA



