Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Tujuh warga Pakistan dan seorang warga China dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan tinggal lebih masa di Sabah.
Mereka ialah Umair Khan Fazal Amin, Badshah Khan, Qadar Khan, Rawan Muhammad, Adnan Khan, Sher Dullah, Rizwan Ullah dan warga China, Yao Xiujun, yang masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi mereka.
Kesemua tertuduh kecuali Sher masing-masing didenda RM10,000 kerana tinggal di Sabah selepas tempoh sah dokumen perjalanan mereka tamat antara empat bulan hingga tiga tahun.
Mereka ditahan secara berasingan di Keningau, Pitas, Putatan, Menumbok dan sekitar bandar raya selepas mengemukakan Pas Lawatan Sosial serta Pas Khas yang telah tamat tempoh.
Kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen memperuntukkan denda minimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi Sher, dia dikenakan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan kerana tinggal lebih masa di Sabah dan memiliki pengendorsan palsu pada pasport Pakistan miliknya. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu dijalankan secara berturut-turut.
Sher ditahan di tepi jalan di Kampung Janus, Jalan Siampak Lambidan, Menumbok selepas mengemukakan Pas Lawatan Sosial dan pasportnya.
Tujuh tertuduh lain yang dikenakan denda telah membayar denda masing-masing.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara atau membayar denda, kesemua lapan tertuduh diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran.



