HomeUtamaBarang kawalan, kenderaan bernilai lebih RM104,000 dirampas di Tawau

Barang kawalan, kenderaan bernilai lebih RM104,000 dirampas di Tawau

Read Time:1 Minute, 7 Second

TAWAU: Sebanyak 220 liter petrol, 12 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 340 kilogram minyak masak dirampas di Jalan Inderasabah di sini selepas permit pemilikan barang kawalan gagal dikemukakan.

Sebuah Toyota Hilux Single Cab berwarna putih turut dirampas, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM104,138.40.

Kes itu kemudian diserahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

KPDN Sabah dalam kenyataan berkata, susulan serahan itu, KPDN Tawau membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan.

KPDN memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan serta tidak terlibat dalam sebarang penyelewengan barang kawalan.

“Sebarang cubaan menyeleweng atau menyalahgunakan minyak diesel adalah satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan tanpa kompromi,” menurut kenyataan itu.

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan.

KPDN turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras penyelewengan barang kawalan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

Orang ramai turut disaran menyalurkan sebarang aduan berkaitan menerusi saluran rasmi KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Energy China teroka peluang pelaburan di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular