HomeUtamaKerjasama APMM-JAPEN semarak patriotisme melalui KMJG 2026 di Semporna

Kerjasama APMM-JAPEN semarak patriotisme melalui KMJG 2026 di Semporna

Read Time:1 Minute, 57 Second

SEMPORNA: Kerjasama strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah menerusi penganjuran Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) terus menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan komuniti, khususnya masyarakat maritim di negeri ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kerjasama berkenaan kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya selepas bermula di Sandakan pada 2024, diteruskan di Pulau Banggi, Kudat pada 2025 dan kini diadakan di Semporna.

Menurut beliau, walaupun lokasi penganjuran berubah setiap tahun, matlamat utama program itu kekal sama iaitu membawa semangat kemerdekaan lebih dekat kepada rakyat serta mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.

“Kerjasama ini turut melengkapi usaha APMM dan JAPEN dalam mendekati komuniti menerusi program INFO ON BOAT, khususnya bagi menyampaikan maklumat serta mesej berkaitan perkhidmatan dan peranan agensi kepada masyarakat maritim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena KMJG 2026 Daerah Semporna di Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Zon Maritim Semporna, di sini.

Khairulanuar berkata, pendekatan berasaskan kebersamaan itu diteruskan melalui beberapa inisiatif baharu yang diperkenalkan sepanjang KMJG 2026 bagi memperluaskan impak program kepada masyarakat.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pengenalan Kotak Kembara Cilik di Nabawan, Pek Kembara Cilik dan Kotak Kembara Sejahtera di Kalabakan, pengedaran Beg Kembara Sejahtera serta pelancaran Pin Badge “Malaysia Tanah Airku, Saya Sayang Sabah” di Semporna.

Selain itu, Pek Kembara Sejahtera juga dijadualkan dibawa ke daerah Paitan dalam siri program seterusnya.

Khairulanuar berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk menyemarakkan rasa cinta terhadap negara serta menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Sabah.

“Penglibatan bersama agensi kerajaan dan komuniti menerusi KMJG membuktikan semangat patriotisme dapat diterjemahkan melalui tindakan bersama, bukan sekadar sambutan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.

“Sebagai agensi yang mewakili kerajaan, kita membawa hasrat kerajaan kepada komuniti dan bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang supaya semangat kenegaraan dan kemerdekaan itu sampai kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap hubungan kerjasama yang terjalin antara Maritim Malaysia dan Jabatan Penerangan Negeri Sabah dapat terus diperkukuhkan pada masa hadapan bagi memastikan semangat patriotisme terus subur dan menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat.

Terdahulu, program itu turut dimeriahkan dengan pengagihan Jalur Gemilang kepada penduduk Kampung Balimbangan, pelaksanaan Program Langkah Jiwa Merdeka serta gimik perasmian KMJG 2026 Daerah Semporna yang melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

Strengthening National Defence Requires Additional Allocation – PM Anwar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular