KOTA KINABALU: Seramai 111 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Kota Kinabalu, Sandakan dan Kudat selama dua hari bermula 18 Ogos lalu.
Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.
JIM Sabah dalam kenyataan berkata, Ops Sapu di Kota Kinabalu membabitkan pemeriksaan terhadap 153 individu dengan 66 warga asing ditahan.
“Tangkapan itu terdiri daripada 60 warga Filipina iaitu 13 lelaki, 18 wanita, 12 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan, selain enam warga Indonesia membabitkan dua lelaki dan empat wanita,” menurut kenyataan itu.
Di Sandakan, seramai 35 individu diperiksa dengan 27 warga asing ditahan, terdiri daripada 26 warga Filipina dan seorang lelaki warga Indonesia.
Warga Filipina yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
Sementara itu, operasi di Kudat menyaksikan 36 individu diperiksa dan 18 warga Filipina ditahan, terdiri daripada lapan lelaki, tiga wanita, enam kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
JIM Sabah berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.
Orang ramai turut diseru supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera melaporkan kegiatan berkaitan menerusi saluran rasmi JIM Sabah.



