TAWAU: Sebuah premis perniagaan dikenakan kompaun selepas didapati menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.
Kesalahan itu dikesan ketika dua pasukan Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau menjalankan pemeriksaan di sekitar Tawau, Khamis lalu.
Hasil pemeriksaan menyaksikan satu kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 diambil terhadap peniaga berkenaan kerana melanggar peraturan yang dikuatkuasakan.
Dalam pemeriksaan berkenaan, sebanyak 50 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) dikeluarkan terhadap premis perniagaan yang diperiksa.
KPDN Sabah dalam kenyataan berkata, secara keseluruhan, peniaga yang diperiksa didapati mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan KPDN, khususnya berkaitan penandaan harga dan penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.
Pemeriksaan di stesen minyak sekitar Tawau pula mendapati stesen yang diperiksa menyediakan Peti dan Buku Log Lawatan KPDN serta mematuhi undang-undang ditetapkan.
Di bawah peruntukan undang-undang berkenaan, individu yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh meningkat sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM100,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.
KPDN menegaskan pemeriksaan dan pemantauan dijalankan secara konsisten setiap hari dan akan terus dipertingkatkan, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil, telus dan mematuhi perundangan sentiasa terpelihara.



