KOTA KINABALU: Tenom bakal menjadi lokasi pertama penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) di peringkat daerah apabila sambutan tahun ini diadakan dari 23 hingga 25 Oktober 2026.
Langkah berkenaan mendapat persetujuan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang melihat penganjuran HPPNS di luar Kota Kinabalu sebagai pendekatan baharu untuk mendekatkan program berkenaan dengan masyarakat akar umbi.
Perkara itu dimaklumkan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri (MAFFI), Datuk Ruslan Muharam, selepas mengetuai kunjungan hormat Jawatankuasa Induk HPPNS 2026 kepada Hajiji di Menara Kinabalu, hari ini.
Menurut Ruslan, Ketua Menteri turut dijemput merasmikan sambutan berkenaan pada 24 Oktober 2026.
Katanya, sambutan HPPNS di Tenom dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung selain menyediakan ruang lebih luas kepada petani, penternak dan nelayan untuk mengetengahkan hasil serta produk mereka.
“Ketua Menteri amat bersetuju supaya sambutan HPPNS dibawa ke daerah kerana pendekatan ini memberi peluang kepada peniaga setempat, selain memudahkan petani, penternak dan nelayan membawa hasil mereka untuk dipamerkan serta dipasarkan,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran di daerah turut memberi manfaat kepada peniaga tempatan apabila kehadiran ribuan pengunjung dijangka merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi sepanjang sambutan berlangsung.
Ruslan berkata, masyarakat setempat juga berpeluang mengambil bahagian dan mengunjungi pelbagai program yang disediakan, sekali gus menjadikan HPPNS sebagai platform yang lebih inklusif.
Menurutnya, pemilihan Tenom sebagai lokasi tahun ini juga berpotensi menjadi model kepada penganjuran HPPNS di daerah lain pada masa akan datang.
“Penganjuran di Tenom membuka ruang untuk sambutan HPPNS diadakan secara bergilir di daerah lain pada masa akan datang, selain Kota Kinabalu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sambutan HPPNS 2026 turut akan memberi pengiktirafan kepada pengusaha sektor agro makanan yang berjaya menerusi pelbagai anugerah kepada usahawan tani, penternak dan nelayan.
Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts Jifrin Mohamad.



