KOTA KINABALU: Perkasa Realty Sdn Bhd (PRSB) merancang menyediakan terminal pengecasan kenderaan elektrik (EV) dalam setiap projek pembangunan baharu yang dilaksanakan di kawasan luar bandar Sabah.
PRSB merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang bertanggungjawab membangunkan premis perniagaan Bumiputera di kawasan pekan baharu dan luar bandar.
Antara misi PRSB adalah membangunkan premis perniagaan di seluruh Sabah, termasuk mengenal pasti kawasan luar bandar yang berpotensi dan berimpak tinggi untuk pembangunan kedai.
Pengurus Besar PRSB, Mat Saidi Minting, berkata kemudahan berkenaan merupakan antara komponen baharu yang dimasukkan dalam pelan pembangunan (DP) bagi projek baharu syarikat itu sebagai persediaan memenuhi keperluan masa depan.
Beliau berkata terminal pengecasan EV itu akan melengkapkan kemudahan sedia ada, termasuk pembinaan stesen minyak mini bagi projek pembangunan yang dilaksanakan PRSB.
“Perkembangan teknologi automotif global turut memberi kesan kepada negeri ini, termasuk dari segi peningkatan penggunaan kenderaan EV.
“Kita dapat melihat sekarang trend penggunaan EV, maka pembinaan terminal pengecasan adalah suatu keperluan di kawasan luar bandar.
“Dengan adanya kemudahan ini nanti, pengguna EV tidak perlu risau untuk melakukan perjalanan ke kawasan luar bandar,” katanya dalam pertemuan bersama wakil media di pejabatnya, baru-baru ini.
Mat Saidi berkata penyediaan terminal pengecasan EV itu dijangka memberi nilai tambah kepada projek pembangunan baharu PRSB, selain berpotensi menyokong perkembangan aktiviti ekonomi dan industri lain di kawasan berkenaan.
Katanya, PRSB telah meneroka pembangunan di kawasan terpencil di Sabah, termasuk Paitan, Long Pasia dan Pulau Sebatik.
“Antara projek yang sedang dilaksanakan sekarang termasuk di Tungku, Lahad Datu, Sook dan Kinabatangan, manakala projek di Pekan Telupid dan Merotai sedang dalam proses penyerahan kepada pembeli,” katanya.
Mat Saidi berkata sehingga kini PRSB telah membangunkan lebih 120 projek di seluruh Sabah, dengan manfaat kepada lebih 1,500 individu dan syarikat Bumiputera.
Sementara itu, di Tongod, PRSB telah melaksanakan dua fasa pembangunan, dengan fasa kedua baru sahaja disiapkan dan diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera.
Beliau berkata PRSB kini giat mengenal pasti beberapa lagi kawasan baharu yang berpotensi untuk dibangunkan.
“Usaha ini akan dilaksanakan sama ada di atas tanah milik SEDCO atau menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), selain usahasama dengan pemilik tanah persendirian,” katanya.



